Klik dan lihat

Sunday, July 5, 2009

MUNAFIK YANG DILAKNAT

Orang-orang munafik merupakan orang-orang yang sangat berbahaya. Allah SWT sendiri telah mengingatkan kita akan tipu helah mereka hampir setiap surah dalam Al-Quran. Jadi, apakah tanda-tanda munafik yang diberitahu Allah kepada kita? Sifat-sifat orang munafik menurut Al-Quran adalah seperti berikut:

Menuduh orang beriman bersifat bodoh
Allah SWT telah menjelaskan sifat munafik ini dalam firman-Nya: “Apabila dikatakan orang kepada mereka, “ Berimanlah kamu sebagaimana manusia yang telah beriman, mereka berkata: Masakan kami beriman, sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh tetapi mereka tidak tahu.” (Al-Baqarah: 13)

Setiap kali ada umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam, mereka akan dituduh kolot atau ketinggalan zaman. Sekiranya ada di antara mereka ingin meninggalkan amalan riba dalam pembelian, mereka telah dituduh bodoh dan menjalani perniagaan tidak menguntungkan. Sekiranya mereka menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan, mereka giat dituduh sebagai penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Kerja-kerja yang tidak menyenangkan ini dilakukan oleh orang-orang munafik.

Menyuruh kepada yang mungkar dan melarang yang makruf
Firman Allah SWT: “Orang munafik lelaki dan orang munafik yang perempuan sesetengah serupa dengan yang sesetengah. Mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang daripada membuat kebajikan, mereka menggenggam tangannya (bakhil). Mereka lupa akan Allah SWT, oleh yang demikian Allah melupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.” (Surah At-Taubah: 67)

Keras kepala dan berbangga dengan dosa
Firman Allah SWT: “Apabila dikatakan kepadanya: Takutlah kepada Allah. Kesombongan menjadikan dia berbuat dosa. Maka cukuplah api neraka untuk balasannya dan adalah api neraka itu seburuk-buruk tempat tinggal.” (Surah Al-Baqarah: 206)

Orang-orang munafik sangat sukar untuk diberi keinsafan. Mereka rela mati dalam mempertahankan kebatilan yang mereka sembunyikan itu. Sejarah pernah menceritakan bagaimana Abdulllah bin Ubai telah terperangkap beberapa kali dalam 'lubang' yang digalinya sendiri, tetapi masih terus-terusan tidak insaf. Seluruh umurnya digunakan untuk menentang Islam.

Membantu orang kafir dan mengintip-intip orang beriman
Sifat munafik ini diceritakan Allah SWT dalam firman-Nya: “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu?”

“Iaitu orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata: “Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?” Dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan), mereka berkata; “Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?” Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisaa': 138 - 141)

Pendirian orang munafik umpama lalang. Arah mana angin bertiup, ke situlah ia condong. Sebenarnya orang-orang munafik cuba mendapatkan keuntungan daripada kedua-dua belah pihak, Islam ataupun kafir. Walaupun begitu, hati mereka lebih kasih kepada orang kafir dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kekuasaan orang-orang kafir terhadap orang Islam.

Penipu, riak dan malas melaksanakan ajaran Islam
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, serta riak (menunjuk- nunjuk) kepada manusia. Tiadalah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit. Mereka itu di dalam keraguan antara kafir dengan iman.” (Surah An-Nisaa': 142-143)

Orang munafik tidak akan merasa kemanisan bahkan seolah-olah rasa terpaksa setiap kali melakukan ibadah. Semuanya dilakukan demi mengelabui mata manusia. Sifat malas, cuai, suka bertangguh-tangguh dan bermudah-mudah akan dapat dilihat dengan jelas. Oleh kerana itu sudah menjadi tradisi bagi Khalifah Ur Rasyidin yang empat, mereka tidak akan menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang cuai beribadah (terutamanya solat) kerana khuatir amanah rakyat jatuh ke tangan orang-orang munafik.

Memecah-belahkan orang beriman dengan projek-projek yang tidak ikhlas
Rasulullah saw pernah menyuruh para sahabat meruntuhkan sebuah masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik. Peranan masjid yang asalnya suci telah dijadikan tempat untuk memecah-belah perpaduan orang-orang beriman. Orang munafik merasakan tindakan mereka bertopengkan agama itu akan berjaya. Namun Rasulullah saw lebih tahu apa yang tersirat di hati mereka. Allah SWT telah memberitahu hal ini melalui firman-Nya: “Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu.

Mereka sesungguhnya telah bersumpah: “Kami tidak mengehendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). (Surah At-Taubah : 107)

Begitulah sifat-sifat orang munafik. Mungkin ada manusia bersifat munafik ini sangat hampir dengan kita seperti mana hampirnya Abdullah bin Ubai dengan Rasulullah saw. Mereka sanggup mengorbankan tenaga dan harta seolah-olah untuk membangunkan Islam tetapi hakikatnya adalah untuk menghancurkan perjuangan Islam. Bak kata pepatah, “tangan kanannya membangunkan Islam, namun tangan kiri meruntuhkan.”

Apakah tindakan kita selama ini seperti mana pepatah ini? Bagaimanakah kita dapat meng hadapi golongan munafik ini? Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam. Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik. Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik.

Allah SWT telah berfirman: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka datangnya.” (Surah At-Talak: 2)



* Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara ia berbohong, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila dipercaya ia berkhianat

kebatilan dan kemunafikan


Munafik


ISTILAH munafik, pastinya bukanlah sesuatu yang baru di dalam masyarakat Islam. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan bahayanya sifat munafik ini.

Firman Allah s.w.t.: Di antara orang-orang Badwi yang ada di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka melampau dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, tetapi Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar. (at-Taubah: 101)

Namun, masih kurang di kalangan umat Islam khususnya, yang berusaha menghayati, memahami serta prihatin terhadap ancaman yang berpunca daripada ciri-ciri golongan munafik ini.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Prof. Datuk Dr. Mohammed Yusoff Hussain, munafik atau nifaq adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab.

``Dari segi bahasa, munafik membawa maksud berpura-pura. Manakala dari segi istilahnya, nifaq atau munafik ini bermakna golongan yang berpura-pura menjadi Islam atau bergelar Muslim tetapi sebenarnya tindakan, perkataan dan perbuatan mereka adalah bertujuan meruntuhkan Islam,'' terang bekas Mufti Wilayah Persekutuan ini secara ringkas akan pengertian munafik sebagai pembuka bicara, petang itu.

Tambah Mohammed Yusoff, pada zaman Rasulullah s.a.w., golongan munafik ini mendapat sokongan dari luar seperti kaum Musyrikin.

Menyedari tindakan dari luar tidak berkesan, maka taktik untuk merosakkan perpaduan umat Islam melalui jalan dalam digunakan, iaitu berpura-pura seperti seorang Muslim tetapi dalam masa yang sama menikam dari belakang.

``Golongan munafik ini begitu licik sehinggakan keakraban yang wujud antara mereka dengan orang Islam yang tulen, menyebabkan orang-orang Islam yang berpegang di jalan yang benar, menganggap golongan munafik ini sebagai sebahagian daripada mereka.

Mengaburi

``Ini dibuktikan melalui kisah kesungguhan golongan munafik ini mendirikan sebuah masjid baru bagi mengaburi penglihatan umat Islam pada masa itu,'' katanya antara salah satu langkah awal cara golongan munafik ini mempengaruhi dan memperoleh kepercayaan umat Islam, sebelum meneruskan misi meracuni pemikiran mereka.

Malah jelas beliau, golongan munafik ini semakin terserlah pada zaman Abu Bakar apabila mereka ingkar membayar zakat.

``Satu contoh kemunafikan yang paling terang berlaku pada zaman pemerintahan para sahabat, Abdullah bin Saba' iaitu seorang munafik yang terkenal.

``Abdullah memfitnah Umar bin Khattab dan Ali bin Abi Talib hanya kerana dia tidak menerima kepimpinan dua sahabat Nabi,'' kata tokoh agama yang berpengalaman ini.

Yang pastinya, ujar Mohammed Yusoff, matlamat golongan sebegini ialah untuk menggoncangkan keyakinan umat Islam, orang yang baru memeluk agama Islam dan mereka yang masih belum kukuh keyakinannya kepada agama Islam.

Tambah beliau lagi, pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w., baginda tidak menguar-uarkan kemunafikan golongan ini kerana tidak mahu menimbulkan suasana huru-hara dari segi hubungan kemanusiaan.

``Ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan mudah untuk menghadapi golongan munafik, dan Nabi sendiripun tidak dapat menghadapinya secara terang-terangan kerana dibimbangi tindakan baginda dieksploitasi oleh golongan munafik sehingga boleh menjatuhkan imej Rasulullah s.a.w. sendiri kerana dituduh tidak mempercayai atau berprasangka buruk terhadap para sahabat,'' terang Mohammed Yusoff yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Malah akui beliau, golongan munafik ini lebih sukar dihadapi daripada musuh yang sebenar. Golongan ini diumpamakan seperti musuh di dalam selimut.

Subversif

Jelas beliau lagi, golongan munafik ini dalam istilah moden boleh disebut golongan subversif ataupun merosakkan dari dalam.

Menjelaskan sifat munafik yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.: Sesiapa yang mempunyai tiga perkara ini, maka dia adalah seorang munafik walaupun dia berpuasa, sembahyang, menunaikan haji, umrah dan mengatakan dirinya seorang Muslim.

Para sahabat bertanya, ``Apakah tiga perkara ini?'' Jawab baginda: Iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak menepati janjinya dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. (Riwayat Muslim)

Namun pada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Mohammed Yusoff menjelaskan, hadis kedua ini memberikan tambahan kepada tanda-tanda orang munafik iaitu: Empat sifat, sesiapa yang bersifat dengannya bererti dia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu daripada sifat-sifat itu bererti dia mempunyai satu sifat munafik sehingga dia meninggalkan sifat itu.

Sifat tersebut ialah: Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri janjinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya dan apabila berbalah (bertengkar) dia melampaui batas.

Namun, tegas beliau, ini adalah ciri-ciri yang umum. Hakikatnya, di dalam dunia yang moden ini ciri-ciri tersebut hanya menjadi panduan.

Antara ciri-ciri lain yang boleh dikategorikan dalam persoalan munafik, jelas Muhammad Yusoff ialah:

1. Mereka yang bercakap tentang Islam tetapi menyimpan niat buruk untuk menghancurkan Islam.

Mereka mendabik dada mengakui mereka memperjuangkan Islam tetapi apa yang dilakukan itu sebaliknya meruntuhkan Islam.

2.Bercakap perkara yang menimbulkan keraguan umat Islam terhadap ajaran Islam.

3.Golongan yang bertindak mengadu domba umat Islam berpandukan kepada tafsiran-tafsiran tentang ajaran Islam. Bagi yang berkeyakinan mereka akan berbalahan antara satu sama lain.

Contohnya, mengatakan bahawa sesuatu ajaran Islam itu hanya untuk satu golongan sahaja, sedangkan ia adalah ajaran Islam yang universal.

4.Bercakap tentang Islam tetapi sebenarnya meniru argumentasi musuh Islam yang jelas.

Misalnya bercakap tentang Islam tetapi menggunakan pandangan orientalis. Sedangkan kita ketahui bahawa golongan Orientalis adalah musuh Islam.

Golongan ini memang menolak pandangan ulama, pejabat agama kerana menganggap golongan ini kolot dan banyak lagi pandangan negatif.

``Ini boleh dikategorikan semi-munafik kerana membelakangkan mereka yang pakar dalam sesuatu bidang itu.

``Contohnya, sekiranya kita hendak membina rumah, tentunya kita meminta pandangan daripada pakar yang berkaitan bukannya meminta pandangan daripada orang agama,'' seloroh beliau.

Terang Mohammed Yusoff lagi, apa yang berlaku dalam masyarakat kini ialah golongan yang kononnya mengembangkan Islam dan mengubah pemikiran rakyat tetapi tidak berpunca daripada kitab yang muktabar dan tidak berdasarkan hadis.

Konteks

Kalaupun berdasarkan al-Quran dan hadis, tetapi tidak melihat dua sumber ini dalam konteksnya atau secara menyeluruh atau daripada sudut pandangan golongan lain.

``Di dalam pekerjaan misalnya, kita telah diamanahkan memegang sesuatu tugas tidak kiralah jawatan besar mahupun kecil, di sisi Allah s.w.t. adalah sama. Di dunia, besar jawatan dan tugas imbuhannya dilihat pada sumber pendapatan.

``Allah tidak melihat pada gaji tetapi Allah melihat apabila seseorang itu menerima amanah tidak kira kecil atau besar, ia mestilah ditunaikan.

``Gaji bukan ukuran Allah tetapi sifat amanah seseorang hamba, itulah yang utama di sisi Allah,'' terang beliau.

Senario sekarang ulas Mohammed Yusoff, ramai di kalangan umat Islam yang tidak takut diri memiliki ciri-ciri munafik.

``Ini kerana, dosa dan pahala itu boleh dikompromi. Contohnya rasuah, waktu mula-mula berkerja, dia sanggup melafazkan aku janji yang dikira amanah yang terpikul di bahu tetapi apabila bekerja kita sanggup melakukan pembohongan, mencuri masa kerja dan pelbagai lagi.

``Dari segi istilah, ini sudah dikira munafik. Lebih-lebih lagi, kesalahan tersebut dilakukan secara terang-terangan seperti penipuan, rasuah, menggelapkan duit syarikat dan banyak lagi,'' katanya sifat munafik ini, mampu merosakkan institusi kekeluargaan, masyarakat, sekali gus melumpuhkan sistem pemerintahan sesebuah negara itu.