Klik dan lihat

Tuesday, September 29, 2009

Jangan Menjual Agama.Kembali kepada islam yang sebenar-benarnya

Bila saya berbicara tajuk ini, saya maksudkannya secara umum, sesiapa sahaja yang menjual agama untuk kepentingan dunia maka dia adalah ulama jahat. Sama ada dunia yang diharapkan itu dari pemerintah atau selain dia tetap dianggap menjual agama. Perlu juga diingatkan untuk pembaca, Islam tidaklah mengatakan para ulama tidak boleh berbaik-baik dengan pemerintah. Sejarah Islam telah membuktikan peranan ulama dalam menjalinkan hubungan dan thiqah (kepercayaan) rakyat kepada pemerintah. Umpamanya lihatlah sejarah pentadbiran `Umar ibn `Abd al-`Aziz dan Salehuddin al-Ayubi. Apa yang Islam tegah ialah jangan seorang muslim membenarkan yang salah, dan mendiamkan kejahatan. Kita tidak menyeru golongan agama agar memusuhi pemerintah, tetapi kita mahu agar mereka bercakap yang haq, membenarkan yang benar dan menyatakan salah pada yang salah.

Nabi bersabda:

Maksudnya:

"Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangan telaga (di syurga)".

(Kata al-Haitami dalam : Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid: Hadith ini diriwayatkan oleh oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Ausod . Para perawi salah satu sanad al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari.

Demikian amaran Nabi s.a.w. agar setiap individu muslim, apatah lagi yang memiliki sedikit sebanyak pengetahuan agar berdisiplin dalam memberi sokongan kepada seseorang.

Asabiyyah

Kita juga hendaklah sedar, bahawa menyokong seseorang secara membabi buta adalah dianggap `asabiyyah dalam pandangan Islam. Sokongan hendaklah disertai dengan hakikat kebenaran bukan sewenang-wenangnya. Sabda Nabi:

Maksudnya:

"Sesiapa yang berperang dibawah “bendera buta” dan menyeru kepada `asabiyyah atau marah kerana `asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah."

(Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasai)

Kata as-Sindi dalam Syarh Ibn Majah yang mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: “Lafaz (bendera buta) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.”

Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah, apatah golongan dan individu yang mempertahankan pemimpin yang diketahui umum penyelewengannya.

Dalam menjelaskan maksud `asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

العصبية أن تعين قومك على الظلم

Maksudnya:

"`Asobiyyah itu kamu menolong kaummu atas kezaliman"

(Hadith ini riwayat Abu Daud. Kata Ibn Muflih dalam al-Adab as-Syar`iyyah, hadith ini hasan. Ini disokong oleh Syu`ib al-Arnaud dalam tahqiqnya kepada kitab tersebut)

Mungkar

Apakah rakyat dan mereka yang bermazhab sepertinya merasa tidak wujud kemunkaran yang dilakukan oleh pemerintah negara ini? Kalau benar demikian, maka kita adalah seorang yang amat jahil tentang hukum hakam Allah. Sekiranya mereka tahu ada banyak kemungkaran dan penyelewengan, saya bertanya, apakah pendirian mereka? Mustahil kita tidak pernah mendengar hadith ini:

Maksudnya:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mensyarahkan hadith di atas membuat contoh seperti berikut: “Apabila seseorang melihat insan lain membeli barangan yang rosak atau seumpamanya lalu dia tidak membantah dan memberitahu pembeli maka ini adalah kesalahan yang jelas. Pada ulama telah menetapkan bahawa wajib sesiapa yang menyetahui perkara seperti ini membantah penjual dan memberitahu pembeli”

Kalau dalam perkara yang sebesar itu disuruh kita tegah, apakah penindasan, penyelewengan, ketidakadilan dalam negara ini lebih ringan dari itu?

Bersama Yang Benar

Saya ingin ingatkan semua muslim agar kita semua tunduk kepada arahan al-Quran dan as-Sunnah dalam persoalan sokong-menyokong ini. Bukan masalah parti dan puak, tetapi masalah kedudukan kita di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:

"Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah."

(Riwayat Malik dalam al-Muwatta` dan al-Tirmizi, katanya hasan sahih)

Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyebut, Sufyan bin `Uyainah menyatakan: “Hadith ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang diredhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkainya) ialah yang mendorongnya melakukan kezaliman”

Hendaklah disedari, tulisan dan pujian yang ditujukan kepada sesiapa sahaja yang kita anggap hanya untuk tujuan peribadi tertentu akhirnya membawa kepada jenayah kezaliman. Dengan itu ianya adalah kesalahan besar dalam Islam.

Sebab itulah al-Quran menyatakan pendirian yang tegas dalam hal ini: Firman Allah:

Maksudnya:

"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka."

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam Tafsir Ayat al-Ahkam: “Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemunkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka.”

Katanya lagi: “Firman Allah (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. [ jld. 5, 418, Dar al-Fikr, Beirut]

Sekali lagi ditegaskan, bukan persoalan politik yang hendak dikaitkan, tetapi persoalan sikap seorang muslim, apatah lagi golongan yang mempunyai pengetahuan agama, dalam memberikan sokongan kepada seseorang. Apatah lagi al-Quran begitu tegas dalam menentukan pendirian golongan agama sehingga disifatkan ulama pengampu dan penyeleweng sebagai anjing!!

Firman Allah dalam Surah al-A’raf 175-176:

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”

Saiyyid Qutb menyebut dalam Fi Zilal al-Quran sebagai mengulas ayat ini: “Berapa banyak kita telah lihat orang alim agama, yang mengetahui hakikat agama Allah kemudian memutar belitkannya. Menggunakan ilmunya untuk penyelewengan yang dikehendaki. Mengeluarkan fatwa yang dituntut oleh pemerintah bumi yang tidak kekal. Cuba untuk mengukuhkan dengannya pemerintah yang melanggari pemerintahan Allah dan laranganNya di bumi..”

Rakyat dan seluruh golongan agama telitilah ayat ini serta lihat apa yang dihuraikan oleh para mufassirin dalam tafsir mereka. Mungkin jika kamu ataupun sesiapa sahaja, seperti segelintir golongan agama di negara ini yang mempunyai cita-cita tertentu yang hendak dicapai melalui nama pengetahuan agama yang dimiliki, namun jangan lupa bahawa ketinggian kedudukan `ulama diangkat oleh Allah bukannya manusia.

Kita menyokong kebenaran dan kebaikan dari siapa pun ianya datang, sama ada pemerintahan atau rakyat biasa, kita menentang kemungkaran dan kezaliman dari mana pun ianya datang, sama ada pemerintah ataupun pembangkang. Islam senantiasa mendahului pemimpin dan parti.

No comments:

Post a Comment