Klik dan lihat

Sunday, September 6, 2009

BERLUTUT

Ada orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhan,yakni mengikut sahaja kehendak hawa nafsunya.Maka ia tidak malu mengambil hak orang ,menganiaya dan sebagainya untuk memuaskan hawa nafsunya kerana nafsunya itulah yang menguasai dirinya, sehingga mengalahkan akal fikiran. Sebab itu Allah menyesatkannya, lalu ditutup Allah pendengaran, pemandangan, dan mata hatinya, sehingga mereka tidak mahu menerima kebenaran.


Dalam ayat 23 surah Al-Jatsiyah Allah berfirman yang bermaksud:

Apakah engkau mengetahui orang yang mempertuankan hawa nafsunya dan Allah membiarkan ia sesat sesudah ia tahu. Dan Allah menutup rapat pendengaran dan hatinya dan dia tutupi pandangan mereka? Maka siapakah(lagi) yang dapat memberi petunjuk selain Allah. Apakah mereka tidak mengambil pengajaran.


dalam ayat di atas ditegaskan, bahawa Allah menyesatkan orang kerana bertuhankan kepada hawa nafsunya bukan kepada Allah, sebagai seksaan(balasan) atas dosanya itu. Ringkasnya Allah menyesatkan hamba-hambaNya, kerana dosa dan kesalahannya. Sedangkan orang yang beriman hatinya diberi petunjuk oleh Allah, sebagai pahala(balasan) bagi keimanannya.


Pada hari kiamat setiap orang berlutut dan tunduk kepada Allah, lalu diperlihatkan kepada buku amalan masing-masing, seraya dikatakan:

"Inilah buku amalan kamu, menerangkan segala yang kamu kerjakan diatas dunia dengan sebenarnya, kerana semua itu ditulis oleh malaikat didalam buku ini. Pada hari ini kamu dibalas menurut apa yang telah kamu usahakan di atas dunia."

Ada satu lagi golongan manusia. Mereka tidak yakin akan adanya hari kiamat dan tidak pula mengengkarinya sama sekali, melainkan mereka dalam keraguan. Mereka ini juga tidak terlepas daripada seksaan Allah


Dalam ayat 32 surah Al-Jatsiyah Allah berfirman yang bermaksud:

Dan apabila dikatakan, bahawa janji Allah itu pasti dan hari kiamat itu tidak disangsikan lagi, kamu berkata, "kami tidak tahu apakah hari kiamat itu. Kami hanya lah menduga-duga sahaja dan kami sama sekali tidak menyakini."

Ayat di atas menjelaskan, bahawa hari kiamat/hari pembalasan itu, adalah sebenar-benarnya, tidak ragu-ragu mengenai kebenarannya. Pada hari itu setiap orang dibalas menurut amalannya masing-masing.

Di dunia ini ramai yang berbuat dosa, aniaya, rasuah dan sebagainya. Mereka terlepas dari hukuman dunia. Maka di akhirat mereka menerima balasan yang setimpal dengan dosanya itu. Begitu juga ada orang yang berbuat baik di dunia ini, tapi tidak mendapat balasan yang wajar dari amalannya itu. Maka di akhirat mereka mendapat balasan amalannya dengan pahala yang berlipat ganda. Sebab berbuat baik lah hai kaum muslimin tanpa mengharapkan balasan di dunia ini, tetapi harapkan lah pahala di akhirat. Biasanya di dunia juga sudah mendapat balasan baik, bukan hanya di akhirat sahaja.

p/s.. Jelaslah, bahawa sekadar persangkaan sahaja mengenai kepercayaan kepada hari kiamat atau hari pembalasan adalah tidak cukup. Bahkan hendak lah yakin dengan seyakin-yakinnya, tidak boleh syak atau persangkaan sahaja.

No comments:

Post a Comment