Klik dan lihat

Tuesday, September 15, 2009

PERBEZAAN KRISTIAN DENGAN ISLAM

PERBEZAAN DARI SUDUT MASA
Agama Kristian sudah berusia lebih 2 000 tahun manakala Islam lebih daripada 1 400 tahun.

PERBEZAAN DARI SUDUT PEMBAWANYA
Kristian dibawa oleh Nabi Isa a.s, yang dikenali juga sebagai Jesus. Dia dinamakan ‘Jesus’ kerana dialah penyelamat kaum Bani Israil sebagaimana yang diterangkan dalam Bible:

Maka dia akan beranakkan seorang anak lelaki, dan hendaklah kamu menamakan dia Jesus, kerana dialah yang akan melepaskan kaumnya (Bani Israil) daripada segala dosa.” (Bible Matius 1:21)

Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, yang juga dikenali sebagai Ahmad. Di dalam Bible, Nabi Muhammad juga dikenali sebagai ‘Seumpama Musa’, ‘Nabi Itu’, ‘Pahlawan’, ‘Yang Tidak Dapat Membaca’, ‘Paracletos’, ‘Penghibur’, ‘Roh Kebenaran’, ‘Himada’, ‘Dia Yang Datang Kemudian Daripadaku’, ‘Dia Yang Digerakkan Dari Timur’ dan lain-lain.

DARI SEGI PENERIMAAN
Agama Kristian menolak pembawa agama Islam iaitu Nabi Muhammad dan melabelnya sebagai syaitan. Agama Islam pula menerima dan mengimani Jesus sebagai salah seorang Rasul. Mana-mana orang Islam yang tidak mengimani Jesus sebagai Rasul, maka imannya dikira rosak.

Begitu bencinya penganut kristian terhadap islam sehinggakan:

“Muhammad ialah kepala perompak, pemuas hawa nafsu, penderita penyakit ayan, mempunyai sifat-sifat syaitan.”
(Martin Luther dalam bukunya Verlegung Alcaras Bruder Ricaldi)

Bahkan ibu kepada Jesus iaitu Maryam sangat dimuliakan dalam al-Quran hinggakan salah satu daripada surah dalam al-Quran dinamakan surah Maryam/ Mariam. Tidak ada surah bernama Aminah- ibu Nabi Muhammad tetapi ada surah sempena nama ibu kepada Jesus. Tidak ada nama surah sempena ama isteri-isteri Muhammad seperti Khadijah, Aisyah, Zainab dan tidak ada juga surah sempena nama Fatimah, anaknya. Hal ini menunjukkan Nabi Muhammad memang tidak ada pilihan untuk berbuat sesuka hati dengan isi kandungan al-Quran. Kerana apa? Kerana isi kandungan al-Quran itu sepenuhnya datang daripada Allah.

“Al-Masih anak Maryam itu tidak lain seorang rasul yang telah didahului sebelumnya beberapa orang rasul, dan ibunya seorang wanita yang amat benar…”
(Al-Quran al-Maidah: 75)

“…Isa anak Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat…”
(Al-Quran Aali Imran: 45)

PERBEZAAN DARI SEGI SUMBER
Ajaran Kristian bersumberkan kitab Bible yang terdiri daripada The Old Testament (Perjanjian Lama) dan The New Testament (Perjanjian Baru) manakala agama Islam bersumberkan kitab suci al-Quran, yang juga dikenali sebagai The Last Testament (Perjanjian Terakhir).

PERBEZAAN DARI SEGI ISI KANDUNGAN SUMBER
Isi kandungan Bible bercampur-aduk antara firman Tuhan, sabda Jesus dengan tulisan para sejarahwan. Perjanjian Akhir pula berisi firman Tuhan semata-mata. Sabda Nabi Muhammad dinamakan ‘hadis’ dan tidak bercampur dengan al-Quran. Nukilan para sejarahwan Islam pula dinamakan ‘tarikh’ dan tidak bercampur dengan al-Quran ataupun hadis. Dengan itu, al-Quran ‘solid’ 100% firman Tuhan.

PERBEZAAN DARI SEGI MATLAMAT
Agama Kristian bermatlamat untuk menyelamatkan kaum Bani Israil sahaja manakala agama Islam bermatlamat untuk menyelamatkan seluruh umat manusia.

“Maka dia akan beranakkan seorang anak lelaki, dan hendaklah kamu menamakan dia Jesus, kerana dialah yang akan melepaskan kaumnya (Bani Israil) daripada segala dosa.” (Bible Matius 1:21)

PERBEZAAN DARI SEGI AKIDAH
Umumnya Kristian menyembah tiga Tuhan dalam satu yang dikenali sebagai triniti ataupun trinitas. Triniti ini ada beberapa versi dan yang paling popular ialah kesatuan antara Bapa/Allah, Anak dan Roh Kudus. Ketiga-tiganya dianggap setara dan satu peribadi. Islam pula menyembah Tuhan Yang Esa iaitu Allah sahaja. Umat Islam menyembah Allah. Bagi Islam, Anak, Roh Kudus, Mariam ataupun yang lain-lain bukanlah Tuhan tetapi makhluk.

“Pada waktu itu berkatalah Jesus: "AKU BERSYUKUR KEPADA-MU BAPA- TUHAN LANGIT DAN BUMI, kerana semuanya itu Engkau sembunyikan bagi orang bijak dan orang pandai, tetapi Engkau nyatakan kepada orang kecil.”
(Bible Matius 11: 25)

Namun begitu, ada sebilangan kecil umat Kristian yang berfahaman Unitari- yang menyembah Bapa sebagai satu-satunya Tuhan sebenar.

PERBEZAAN DARI SEGI GEOGRAFI
Kristian bermula di Baitul Laham (Bettlehem) ataupun sekitarnya manakala Islam bermula di Makkah. Kini Kristian lebih berkembang di Amerika, Eropah dan Australia yang biasa kita sebut sebagai Barat. Islam pula lebih berkembang di Tanah Arab, Afrika, Nusantara, China, Khurasan dan lain-lain yang biasanya disebut sebagai Timur.

PERBEZAAN DARI SUDUT SEJARAH
Sebaik-baik sahaja Nabi Jesus tiada, agama Kristian meneruskan kehidupannya secara sulit-sulit, ditolak, diperintah, ketakutan, ditindas, pembawanya tidak ramai, banyak pembawanya yang dibunuh ataupun ditangkap, kitab sucinya tidak dihafaz dan lain-lain yang memungkinkan ajaran asalnya tidak sampai 100% kepada kita hari ini.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, agama Islam tersebar secara terang-terangan, meluas, memerintah, tersusun dan sistematik, pembawanya ramai bertebaran ke Timur dan ke Barat, diterima orang, kitab sucinya dihafaz perkataan demi perkataan oleh ratusan (secara terpisah-pisah oleh ribuan orang) dan sebagainya yang memungkinkan ajaran asalnya masih kekal 100% hingga ke hari ini. Kini penghafaz keseluruhan al-Quran ada puluhan ribu orang. Berapa orang yang menghafaz keseluruhan Bible yang asal?

PERBEZAAN DARI SUDUT PENYEBARAN
Agama Kristian lebih banyak tersebar melalui penaklukan dan kekerasan. Agama Islam pula lebih banyak tersebar melalui dakwah dan perdagangan. Antara buktinya, agama Islam lebih dahulu tiba di Asia berbanding agama Kristian. Ia dibawa oleh para pendakwah dan pedagang. Tapi sebaik-baik sahaja Barat menemui jalan ke Timur, mereka datang dengan kapal perang dan slogan ‘Gospel, Gold & Glory’ lalu menakluk dan menjajah India, Tanah Melayu, Indonesia, Filipina, Indo-China hinggalah ke China. Islam masuk ke Melaka tanpa pertumpahan darah. Kita bandingkan dengan cara Kristian masuk ke Melaka.

PERBEZAAN DARI SEGI TEMPAT IBADAH
Umat Kristian beribadah di gereja walaupun Nabi Isa dan para sahabatnya sendiri beribadah di sinagog (rumah ibadah agama Yahudi). Nabi Isa tidak pernah membina gereja ataupun menyuruh dibuatkan gereja. Umat Islam beribadah di masjid, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad.

PERBEZAAN DARI SEGI QIBLAT
Qiblat Kristian ialah ke Baitul Maqdis manakala Qiblat umat Islam ke Masjidil Haram di Makkah. Asalnya qiblat umat Islam juga ke Baitul Maqdis tetapi Allah memerintahkannya ditukar ke Qiblat pertama umat-umat terdahulu iaitu ke Makkah kembali.

PERBEZAAN DARI SEGI PERLAKUAN PARA PEJUANG
Ketika Tentera Salib menakluki Jerusalem, ribuan umat Islam yang menyerah, kebanyakannya bukan tentera tetapi kanak-kanak, wanita dan golongan tua dibunuh. Ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi mendapat semula kota tersebut daripada tentera Kristian, semua penganut agama Kristian termasuklah para tentera yang menyerah kalah dibebaskan. Malah perjalanan mereka berpindah keluar daripada Jerusalem diawasi oleh tentera Islam agar keselamatan mereka terjamin.

PENGANUT YANG LEBIH RAMAI

Di peringkat antarabangsa, perangkaan yang biasa saya lihat menunjukkan penganut agama Kristian lebih banyak daripada penganut agama Islam. Perangkaan rasmi inilah yang kita pakai. Namun begitu, keraguan tetap timbul memandangkan agama Islam begitu pesat berkembang di Amerika, Eropah dan Afrika melebihi perkembangan agama Kristian. Banyak gereja dan bangunan dibeli lalu digantikan fungsinya dengan masjid. Lagi pula, banyak orang Barat yang pada pengenalan diri mereka tertulis agama Kristian sebenarnya tidak menganut mana-mana agama dan lebih suka menjalani kehidupan sebagai seorang atheis. Secara tidak rasminya saya memandang jumlah umat Islam melebihi jumlah umat Kristian.

MENGAPA MUSLIM LEBIH RAMAI?

Baiklah. Katakanlah kita memakai kenyataan anda bahawa Muslim lebih ramai. Mengapa lebih ramai walaupun Islam memberi laluan kepada Kristian untuk memecut 600 tahun lebih awal? Banyak faktor-faktornya. Antara yang utama ialah:

  • Islam lebih dulu sampai ke Timur. Penduduk Timur lebih banyak daripada Barat. Dan kedatangan Islam adalah dengan jalan damai, dagang dan kasih sayang sedangkan kedatangan Kristian adalah dengan jalan perang, penaklukan dan penjajahan. Kekejaman para pimpinan Kristian dalam pembunuhan ratusan ribu manusia tidak bersalah di Hiroshima dan Nagasaki tidak akan dilupakan orang, dan inilah keganasan paling besar dalam sejarah. Imej agama Kristian sering saja dikaitkan dengan keganasan tetapi hari ini media-media cuba meletakkan ‘keganasan’ agar menjadi imej Islam, namun begitu sejarah tidak boleh dibohongi.
  • Ajaran Islam selaras dengan fitrah manusia dan fitrah alam serta pengetahuan sains. Islam tidak pernah bertentangan dengan ilmu pengetahuan.
  • Islam memandang manusia sama rata. Tidak ada sistem kasta ataupun dasar ‘apartheid’. Tidak ada perbezaan antara bangsa Timur dengan bangsa Barat, kulit putih dengan kulit berwarna.
  • Sumber utama agama Islam iaitu al-Quran The Last Testament masih terpelihara sebagaimana yang asal sedangkan kitab Bible berisi banyak kesalahan, penyelewengan dan ubahsuaian.
  • Kebenaran Islam dan Nabi Muhammad sudah disebut dalam kitab-kitab terdahulu sama ada secara jelas ataupun berkias.
  • Kitab Perjanjian Akhir tidak berisi cerita-cerita lucah. Hal ini membuatkan ia lebih mudah diterima sebagai firman Tuhan berbanding Bible.
  • Semua persoalan pokok dalam ajaran Islam ada sandaran kukuh dan boleh dihujahkan hingga mendapat keputusan yang diakui. Walau serosak manapun umat dan persoalan-persoalan cabangan, agama Islam itu tetap benar kerana asasnya adalah benar. Bagi agama Kristian, perosalan-persoalan pokoknya kurang sandaran kukuh, mengelirukan, mengandungi kesalahan dan seumpamanya. Walau sebaik manapun umat dan persoalan-persoalan cabangannya, agama Kristian tetap diragukan kerana persoalan asasnya tidak beres.
  • Hukum-hakam Islam lengkap sebagai satu perundangan dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Perundangan dalam agama Kristian tidak menyeluruh menyebabkan mereka terpaksa mencipta pelbagai hukum-hakam untuk melengkapkan kehidupan mereka. Contohnya undang-undang perceraian, tidak ada dalam agama Kristian. Mereka terpaksa mencipta atau mencedok dari mana-mana untuk mendapatkan undang-undang tentangnya.
  • Oleh kerana tidak mampu menjelaskan banyak perkara, agama Kristian hari ini terdorong untuk menjadikan para penganutnya beriman secara buta. Banyak perkara perlu diterima tanpa perlu dipersoalkan. Cukup dengan kita menyayangi Jesus dan Jesus menyayangi kita. Hari ini manusia semakin berpelajaran tinggi. Mereka tidak boleh menerima sesuatu tanpa ada alasan yang kukuh. Mereka tidak mahu memperjudikan agama mereka dengan sekadar mengikut-ikut tetapi mesti dengan kajian. Dalam hal ini, agama Islam jelas dan mudah. Manusia bebas mengkaji dan mendapat keputusan, bukan sekadar ‘mesti ikut dan mesti percaya’ sahaja.

"Kasihilah Tuhan kamu... DENGAN SELURUH AKAL"
(Bible Markus 12:30)

"Allah adalah Allah yang suka akan ketertiban, bukan kekeliruan".
(Bible Korintus 1 14:33)

  1. Konsep keTuhanan dalam agama Kristian tidak selaras dengan konsep Tuhan yang sebenar. Dengan memeluk Islam, konsep keTuhanan kita begitu jelas dan mudah. Sembah Allah sahaja sebagai Tuhan, selain Allah semuanya makhluk.

“Inilah kehidupan yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau Tuhan Yang Esa (Satu), dan Jesus Kristus yang telah Engkau suruhkan itu.” (Yohanes 17:3)

“Dan janganlah kamu menyebut sesiapapun Bapa di bumi ini, kerana ada satu sahaja Bapamu, iaitu Dia yang di syurga.” (Matius 23:9)

"Kita juga tahu bahawa ALLAH HANYA SATU IAITU BAPA tidak ada yang lain. Sekali pun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik di syurga mahu pun yang di bumi, tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup.” (Korintus 1 8:5-6)

Ini semua ayat-ayat dari Bible sendiri.

Tidak ada paksaan dalam beragama. Manusia bebas mengkaji dan memilih. Membuat pilihan atas kajian adalah lebih berkualiti dariapda membuat pilihan atas dasar ikut-ikutan. Dalam beragama kita mesti hendakkan kepuasan dan kejelasan.

Salam hormat dari saya.Dunia jambatan akhirat.


'BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw'

No comments:

Post a Comment