Klik dan lihat

Thursday, September 3, 2009

Sedikit sedutan sejarah mengenai Mufti Perak dakwa 100,000 umat Islam Malaysia murtad

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria mendakwa kira-kira 100,000 orang Islam di negara termasuk seorang yang bergelar 'ustazah' telah murtad.

Menurutnya, angka mengenai murtad itu diperolehi dari kajian sekumpulan profesional dan intelektual Melayu yang menjalankan kajian mengenai masalah itu pada tahun lepas.

"Terdapat seorang wanita bergelar "ustazah" turut mengetuai kumpulan ribuan mereka yang murtad ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar "Dasar Aparteid Terhadap Wanita Islam di Malaysia: Satu Penilaian" di Kuala Lumpur hari ini.



Pendedahan Harussani mengenai penyelewengan akidah umat Islam di negara ini adalah yang kedua minggu ini selepas mendakwa masyarakat Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi.

Menurut laporan Bernama, Harussani berkata kumpulan murtad itu turut cuba mendapatkan perhatian daripada beberapa pihak di Amerika Syarikat dengan mendakwa mereka ditindas oleh umat Islam di Malaysia kerana menukar agama.

"Saya dapat maklumat daripada Amerika yang marah kepada saya. Dia ingat saya ini adalah ketua agama di Malaysia dan saya telah menyekat orang Islam yang telah mendaftar masuk Kristian daripada melawat gereja," katanya.

Beliau berkata berikutan itu terdapat masyarakat Amerika yang beranggapan umat Islam Malaysia adalah kalangan yang zalim kerana menyebabkan golongan murtad tidak sanggup secara terbuka mengaku sudah keluar Islam kerana bimbang dibunuh atau dipukul.

Harussani juga memberitahu beliau telah menulis dua memorandum bertajuk "Ancaman-ancaman Terhadap Islam" kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Majlis Raja-Raja pada April lepas bagi memaklumkan gejala murtad itu.

Katanya berikutan itu satu arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk mengambil tindakan segera, bagaimanapun tiada tindakan susulan diambil kerana badan itu memberi alasan ia hanyalah satu maklumat tanpa bukti.


Beliau bagaimanapun tidak mahu menyatakan nama pihak berkuasa agama itu.
Harussani juga berkata umat Islam Malaysia kian pincang dengan keimanan yang tipis apabila mudah percaya kepada mereka yang mengakui kononnya Rasul atau Tuhan, seperti dalam kes Ayah Pin di Terengganu.


Kesemua usaha melemahkan umat Islam itu, katanya, didalangi oleh musuh Islam untuk mengelirukan pemikiran umat.

"Mereka mewujudkan Islam Liberal. Sampaikan di Indonesia, ada ulama yang telah terpengaruh hingga tergamak mengeluarkan kenyataan perkahwinan lelaki dengan lelaki adalah sah," katanya.

No comments:

Post a Comment