Klik dan lihat

Wednesday, September 16, 2009

Tahanan ISA disiksa mental, maruah dan diri dihina(Kisah Benar)

Tahanan ISA disiksa mental, maruah dan diri dihina
Mon May 15, 06 02:46:54 PM
Oleh Saari Sungib abuurwah@gmail.com


Merenung pengalaman saya ditahan dua kali di bawah ISA dan kemudian merengkok selama dua tahun di Kem Kamunting, saya dapat simpulkan enam tujuan paling utama kenapa ISA terus digunakan oleh kerajaan Umno-BN.


Pertama; tujuan ISA digunakan adalah untuk menanamkan rasa menyesal dan serik di kalangan tahanan kerana berani menentang kerajaan Umno-BN. Ini dilakukan melalui proses soal-siasat 60 hari dan juga tahanan selama dua tahun atau lebih di Kem Kamunting.


Soal-siasat 60 hari biasanya dimulakan dengan menjatuhkan maruah tahanan, melakukan segala yang boleh menjadikan tahanan merasa dihina serta memaksa tahanan mengaku bersalah atau mewujudkan keadaan di mana tahanan merasakan telah melakukan kesalahan terhadap agama, bangsa dan negara.


Dalam keadaan penahanan dilakukan secara gempar dan trauma, orang tahanan dibawa ke balai polis untuk tujuan pentadbiran. Segala yang ada pada dirinya direkodkan. Baju, seluar, seluar dalam, sikat, kad pengenalan, dompet duit, duit syiling, duit kertas, tali pinggang, cermin mata dan sebagainya.


Bahan-bahan yang dirampas dari rumah atau pejabatnya akan dicatatkan satu persatu. Cap jari tahanan akan di ambil. Bukan hanya cap ibu jari sahaja yang diambil, tetapi setiap jari dan kemudian keseluruhan jari-jari tangan diambil. Ini dilakukan pada semua jari di kedua-dua belah tangan, kanan dan kiri.


Proses ini memakan masa yang panjang. Boleh mengambil masa hingga tiga jam!


Terpaksalah tahanan tadi menunggu selama itu pula di balai dengan penuh tanda tanya dalam dirinya sendiri. Pada ketika itu sudah pelbagai soalan berlegar dalam fikirannya.
Sesudah itu SB-SB yang menahan akan mengarahkan tahanan menanggalkan pakaian. Kebanyakan tahanan yang ketika itu sedang berada dalam keadaan trauma, biasanya tidak membantah dan terus menanggalkan pakaian mereka.


Tindakan ini sebenarnya dilakukan oleh SB sebagai mengukur tahap ketahanan dan kecekalan tahanan. Jika baru diarah menangggalkan pakaian di balai pun, tahanan tersebut sudah jadi longlai dan terus akur kepada arahan, pastinya di bilik soal-siasat nanti dia akan lebih lembik dan longlai tidak bermaya lagi.


Setelah urusan di balai polis beres, tahanan akan digari, ditutup mata dan dibawa dalam sebuah kenderaan menuju ke tempat tahanan lain bagi proses soal-siasat.


Sampai di sana sekali lagi proses pentadbiran akan dijalankan. Sekali lagi seluruh cap jarinya diambil. Sekali lagi dia diarahkan untuk menanggalkan pakaiannya di depan SB dan polis.


Dia diberikan pakaian lokap dan diarahkan memakai pakaian tersebut dalam keadaan berbogel di depan SB dan polis. Kalau semasa di balai tadi dia sudah lembik, maka di tempat tahanan dengan segala trauma yang telah diwujudkan itu, dia pastinya akan bertambah lembik.


Di tempat tahanan SB, maruahnya sudah tidak ada harganya lagi!


Ia terus dihina dengan tidak diberikan alas kaki, ditempatkan di sel yang kotor dan jijik, disindir, dimaki dan dilontarkan kata-kata yang kesat oleh pengawal-pengawal tempat tahanan dan sentiasa berada dalam keadaan kedua belah tangannya digari dan matanya ditutup pada bila-bila masa ia dibawa keluar daripada sel tahanan.


Tujuannya adalah untuk menghina tahanan dan menjadikan tahanan merasakan dirinya amat hina sekali.


Pengawal sel tahanan diarahkan oleh SB-SB agar menghempaskan pintu-pintu besi sel setiap kali keluar masuk. Tujuannya untuk menambahkan trauma dan kecut hati pada diri orang tahanan.


Bingit telinga dan bagai nak tercabut jantung orang tahanan dek seringnya pintu-pintu besi itu dihempas semasa dibuka dan ditutup. Ia dilarang menyebut namanya sendiri. Ia hanya boleh menyebut nombor tahanannya kepada pengawal sel atau kepada SB-SB yang menyoal-siasat.


Setiap kali masuk ke bilik soal-siasat dipandu oleh pengawal sel dalam keadaan digari tangan dan ditutup mata, orang tahanan kena berkata: "Tuan, OT 220, melapor diri tuan".


Sering kedengaran pekikan yang kuat:"Apa macam pondan ni! Cakap kuat-kuat! Ulang sekali lagi!. Aku picit telur kau nanti baru tahu!"


Tahanan mengulang lebih kuat: "Tuan, OT 220, melapor diri tuan".


Ditengking oleh SB sekali lagi: "Bagus! Lain kali kalau cakap macam pondan aku londeh seluar engkau!"


Proses soal-siasat pula dilajankan dengan berulang-ulang. Soalan yang sama diulang-ulang berkali-kali. Kadang-kadang oleh pasukan SB yang sama. Kadangkala oleh satu pasukan SB yang baru.


Bosan. Sakit hati.


Biasa ditanya adalah berkenaan ceramah yang disampaikan. Segala-galanya mesti diceritakan kepada SB-SB itu. Siapa anjur? Berapa orang hadir? Siapa penceramah lain? Kamu datang dengan siapa? Naik apa? Sampai pukul berapa? Bertolak pukul berapa? Ikut highway mana? Pakai baju apa? Pakai kopiah atau pakai songkok? Apa kamu cakap? Apa penceramah lain cakap? Apa reaksi pendengar bila kami bercakap? Berapa banyak kamu dapat bayaran untuk bercakap? Berapa kali kamu takbir? Kamu laung Reformasi berapa kali? Apa slogan lain kamu guna?


Esoknya soalan yang sama diulang-ulang oleh pasukan SB yang sama atau pasukan SB yang lain!


Selepas itu datang pula seorang dua SB bertanya penceramah tadi berapa sm tinggi dia? Apa warna kulit dia? Rambut dia macam mana? Panjang ke pendek? Pakai spek ke tidak pakai spek? Apa jawatan dia dalam PAS? Apa jawatan dia dalam KeADILan? Dia orang kuat Anwar ke? Dia sokong Chandra ke sokong Wan Azizah?


Jika sebelum ditahan seseorang itu telah berceramah lebih dari 200 kali, maka berminggu-minggulah ia terpaksa berdepan dengan kerenah SB-SB tersebut menjawab soalan yang tidak dan kena mengena dengan keselamatan negara itu.


Setiap kali tahanan membantah bahawa semua ceramah itu dijalankan di atas nama parti politik yang sah. Maka SB-SB itu tidak memperdulikan bantahan tersebut. Mereka hanya menyatakan bahawa tahanan telah memudaratkan keselamatan negara dan dengan itu SB mesti dapatkan segala maklumat tentang apa yang telah diceramahkan oleh tahanan dalam ceramah-ceramah politiknya.


Sebenarnya tindakan tersebut tidak ada tujuan selain untuk menjadikan tahanan merasa serik dan menyesal kerana telah berceramah mengkritik dasar-dasar, program-program dan salahlaku kerajaan Umno-BN.


Itu saja!
Dosa tahanan mendedahkan penyelewengan Umno-BN di depan rakyat dalam ceramah-ceramah umum mesti dihukum oleh SB-SB melalui soal-siasat ISA yang panjang dan amat membosankan.


Memang tidak dinafikan saya sendiri pada ketika itu merasa bosan. Pada masa itu ada juga saya merasa serik dan menyesal terlibat dalam ceramah-ceramah mengkritik kerajaan Umno-BN.


Tambahan pula mereka secara halus sering bertanya adakah saya mahu terus berceramah jika dibebaskan nanti?


Saya faham maksud SB-SB yang bertanya seperti itu!


Ada juga di kalangan SB-SB itu yang lebih direct. Mereka terus nasihat dan pujuk saya agar jangan menyusahkan diri dan anak-anak isteri saya dengan terlibat lagi dalam ceramah-ceramah politik yang mengkritik kerajaan Umno-BN. Tumpu sahaja menjaga anak-anak dan isteri. Biar keluarga saya hidup bahagia. Kerajaan jaga semuanya baik. Jangan susah-susahkan diri dan keluarga saya!


Kalau mahupun kata mereka, terlibat hanya di peringkat NGO dengan mengemukakan syor-syor membina kepada kerajaan. Jangan buat bising menghentam kerajaan. Kerajaan ini guna hikmah dan rasional. Jika saya beri teguran secara baik kerajaan akan dengar dan laksanakan nasihat saya.


Lebih baik lagi, ceburkan diri dalam Umno. Buat perubahan melalui Umno. Itu lebih baik, kata mereka!


p/s Semoga pemerintah adil dan beriman dalam melaksanakan amanah rakyat

No comments:

Post a Comment