Klik dan lihat

Saturday, October 31, 2009

Pemikiran Zaman Moden

Masyarakat Islam pada zaman moden ini perlu dibebaskan daripada dua bentuk pemikiran (kefahaman) yang dipindahkan kepada mereka oleh masyarakat lain dan telah merasuk ke segenap lapisan masyarakat, baik masyarakat awam mahupun cendekiawan dan ulamanya.

Dua pemikiran tersebut ialah: Pertama, pelbagai pemahaman yang mempengaruhi umat Islam sepanjang tempoh berlakunya penjajahan berupa salah faham mereka tentang Islam.

Misalnya, memahami zuhud dengan meninggalkan sama sekali kehidupan (dunia) ini sehingga dikuasai oleh orang yang kufur; memahami keimanan terhadap takdir seperti yang difahami oleh kaum Jabariyah; memahami bahawa ilmu fikah adalah mengutip pendapat orang (ulama) terdahulu.

Begitu juga memahami bahawa pintu ijtihad telah ditutup, akal berlawanan dengan wahyu; menganggap wanita sebagai sarang (perangkap) syaitan; termasuk juga pemahaman bahawa al-Quran harus digantung untuk memelihara diri daripada jin; atau bahawa keberkatan sunah terletak pada pembacaan Sahih Bukhari ketika terjadi kesedihan (musibah); dan memahami masalah wali dan karamah dengan pemahaman yang bertentangan dengan sunnatullah.

Dan masih banyak lagi pemahaman yang lainnya yang berkembang pada masa kejumudan ilmu dan pemikiran, taklid di bidang fikah, perdebatan ilmu kalam, penyimpangan dalam bidang ibadat, diktator politik dan peradaban.

Kedua, pelbagai pemahaman yang menyerang masyarakat Muslimin yang datang bersama dengan serangan penjajah. Ia masuk dari pintunya, berjalan bersama rombongannya, berlindung di belakangnya dan menjadikan mereka (penjajah) sebagai kiblat dan imamnya. Pada hal belum pernah ada perjanjian antara mereka dengan kita (umat Islam), bahkan belum pernah terlintas di benak kita.

Itulah pemikiran-pemikiran yang menyimpang, yang berkaitan dengan agama dan dunia, lelaki dan wanita, keutamaan dan isu remeh-temeh, kebebasan dan kejumudan, kemajuan dan kemunduran, halal dan haram dan sebagainya.

Pemahaman-pemahaman inilah yang mengaburkan batas-batas yang memisahkan antara kebebasan berfikir dengan kebebasan kufur, antara kebenaran dan kefasikan, antara ilmiah dan ilmaniyah (sekularisasi), antara diniah (agama) dan daulah (negara) Islamiah.

Itulah mafaahim (pelbagai pemahaman) berbentuk ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang menganggap beriman kepada perkara-perkara ghaib (seksa kubur, balasan akhirat) sebagai keterbelakang, berpegang teguh pada perilaku menurut syariat Allah adalah sikap ekstrem, amar makruf dan nahi munkar dianggap ikut campur dalam urusan orang lain, percampuran laki-laki dan perempuan tanpa batas dianggap sebagai kebebasan, kembalinya wanita Muslimah untuk mengenakan hijab syar’ie (pakaian yang menutup auratnya) dianggap sebagai kemunduran, memanfaatkan warisan (khazanah) Islam dianggap fanatik, menjadikan ulama sebagai ikutan dan panduan dianggap kuno, sementara para da’ie (mubaligh) Barat dianggap sebagai cendekiawan yang menerangi peradaban umat sejagat.

Sehubungan itu, maka menjadi kewajipan kepada para da’ie (pendakwah), para ulama dan para pemikir lslam untuk mendahulukan pemikiran-pemikiran lslam yang sahih dan tulen untuk `menggempur’ pemikiran dan pemahaman Barat yang sempat merasuk pemikiran umat Islam, sama ada yang lama mahupun yang baru.

Kedua-duanya sama saja dalam hal menggambarkan lslam dengan wajah yang tidak sesuai asal-usulnya. Semua pemikiran itu beracun, merosak dan sudah basi atau sebagaimana yang dikatakan oleh Ustaz Malik bin Nabi, sebagai pemikiran yang mati dan mematikan.

Dari satu sudut lain, jika kita melihat permasalahan ini dalam kerangka keadilan, supaya terhindar daripada sikap ekstrem (melampau), maka kita harus mengambil pemahaman yang di tengah-tengah (sederhana).

Kita menolak segala bentuk sikap berlebihan sebagaimana yang dilakukan oleh kelompok-kelompok sekular dan gerakan pembaratan.

Dalam kitab Al Islam Wal `Ilmaniyah, Sheikh Dr.Yusuff al-Qardawi telah memaparkan lapan belas pemahaman pokok tentang lslam.

Menerusinya Sheikh Dr.Yusuff al-Qardawi ingin membatasi gambaran lslam yang beliau dakwahkan, sehingga tidak ada yang mengira bahawa beliau berdakwah kepada lslam yang sulit atau tidak jelas atau khayalan sehingga boleh diguna pakai oleh sesiapa pun, sesuai mengikut apa yang mereka inginkan.

Dalam buku itu, Sheikh Dr.Yusuff al-Qardawi kemukakan sekumpulan pemikiran lslam yang cemerlang, sederhana dan lurus yang dibuat oleh Ustaz Dr. Ahmad Kamal Abu Majd. Sheikh Dr.Yusuff al-Qardawi sependapat dengan pemikiran Ustaz Dr.Ahmad Kamal Abu Majd secara umum, walaupun Sheikh Dr.Yusuff al-Qardawi juga mempunyai pendapat yang berbeza dalam sesetengah huraiannya.

Kitab ini sendiri mengemukakan gambaran tentang masyarakat lslam yang kita cita-citakan dalam kerangka pemahaman `madrasah wusta’ (aliran tengah) yang menyatukan antara akal dan wahyu, antara agama dan dunia, dan mengkompromikan antara muhkamaat syar’ie (kekuatan syariat) dan muqtadhayaatul `ashri (tuntutan zaman).

Termasuk juga menyeimbangkan antara hal-hal yang tetap (tsawaabit) dan yang mengenal perubahan, menggabungkan antara salafiyah dan tajdid (yang lama dan yang baru), serta percaya terhadap keterbukaan tanpa harus `cair’ dan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kebatilan

2 comments:

  1. Salam faizal,

    Blog awak penuh ilmu,dalam berdakwah jangan mudah serik,datanglah keblog saya.Koen tuan tetap saya hargai.

    ReplyDelete