Klik dan lihat

Sunday, October 25, 2009

Pemimpin harus matang dan berakal

Cacamarba politik negara, negeri, universiti, kolej, hatta kampung orang asli sekalipun. Boleh berlaku di mana-mana dalam pelbagai wajah, namun generalisasi boleh dibuat untuk mencari kesamaan.

Menjadi pemimpin bukan sekadar memimpin pengikut, menjadi pemimpin juga termasuklah memimpin diri sendiri agar tidak terlalu ghairah untuk memimpin sehingga lupa akan kesan yang lebih besar kepada pimpinan. Pengikut berhak mengetahui kesilapan yang dilakukan, yang menuntut pembetulan, tetapi bukan untuk diheret supaya memihak kepada Pemimpin A atau Pemimpin B. Kesetiaan anak buah (dan juga pemimpin)sepatutnya lebih kepada organisasi, bukan mengutamakan Pemimpin A atau Pemimpin B hingga mengesampingkan organisasi.Dan ini, memerlukan kematangan daripada Pemimpin A dan Pemimpin B, lebih mustahak daripada menuntut kematangan daripada anak buah. Jika anak buah lebih matang daripada pemimpin, logiknya apa perlunya si pemimpin kekal di takhta pemimpin?

Tengok keadaan juga, kalau organisasi itu yang sudah rosak dan korup, pandai-pandailah anak buah membuat perhitungan...

Kadang-kadang juga, ada suara-suara kecil yang ingin memberikan sumbangan kepada institusi. Yang ingin mengambil tahu mengikut kadarnya. Tetapi tidak diberikan peluang - mungkin kerana status sosial, ideologi politik, dan lain-lain. Memang tidak semua pengikut boleh terlibat dalam penyelesaian masalah dan perangkaan keputusan kerana atas sebab itulah pemimpin dan jawatankuasanya dilantik. Tetapi berpada-padalah. Jangan perlekehkan suara-suara kecil ini kerana ia mungkin boleh menjadi besar. Beri peluang, dorongan dan pengiktirafan sewajarnya. Jangan sampai suara-suara kecil ini mencari saluran lain yang sudi memberikan ruang - media alternatif, ajaran sesat, 'penjilat' politik, proksian Yahudi atau munafik, apa-apa saja - saluran yang mungkin menjadikan sumbangan asal bertukar sumbang. Mungkin sumbang pada mata-mata tertentu sahaja, mungkin benar-benar sumbang. Ketika itu kita akan lihat 'mereka yang penting' sibuk mempersalahkan dan mempersalahkan. BUKAN MENGAKUI KESALAHAN.

No comments:

Post a Comment