Klik dan lihat

Tuesday, October 6, 2009

Politik wang: tiga mengaku tak bersalah

Seorang Naib Ketua UMNO Bahagian dan dua ahli UMNO Khamis mengaku tak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah berasingan atas tuduhan sogok wang kepada perwakilan menjelang pemilihan UMNO Bahagian di bahagian mereka tahun lalu.

Naib Ketua UMNO Beruas, Azman Noh (gambar kiri) mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen,Ipoh atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang perwakilan pada pemilihan UMNO Bahagian itu, 9 November lalu.

Beliau yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Okt lepas di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar kira-kira 12 tengah malam.

Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua UMNO dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Okt lepas.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000.

Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.

Sementara itu di Melaka Ketua UMNO Cawangan Panchor, Alor Gajah, Johari Ibrahim (gambar kanan) juga mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen,Melaka atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang perwakilan, Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi calon ketua bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud.

Dia didakwa memberi wang kepada Nadiah di pusat persidangan Umno Bahagian Alor Gajah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, kira-kira jam 12 tengah hari sebagai dorongan untuk mengundi calon Ketua Bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud yang menentang bekas Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Di Mahkamah Sesyen,Jalan Duta ,Kuala Lumpur pula seorang ahli UMNO Bahagian Raub Junaidi Hamid mengaku tidak bersalah memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua anggota UMNO, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad masing-masing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai Ketua UMNO Bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua UMNO bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada pukul 8 malam, 13 Sept 2008.

Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.- 22/1/2009

-------------------------

Penolong kanan sekolah ditahan kes rasuah politik

Seorang penolong kanan sebuah sekolah di Raub ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang hari ini kerana disyaki terbabit kes rasuah politik. Guru lelaki berusia 40-an itu ditahan di sekolahnya pada 2.15 petang tadi. Pengarah SPRM Pahang, Sutinah Sutan, ketika dihubungi Bernama berkata, guru itu akan didakwa hari Khamis di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di ibu negara. Dia didakwa memberi rasuah RM200 kepada seseorang sebagai dorongan bagi mengundi seorang calon Ketua UMNO Bahagian di Pahang pada pemilihan bahagian itu November tahun lalu. – 21/1/2009

-----------------------------

Siapa tu…?

Seorang Naib Ketua UMNO Bahagian di Perak dan dua ahli UMNO di Melaka dan Pahang akan didakwa di mahkamah Khamis ini oleh Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia kerana sogok wang masa pemilihan bahagian baru-baru ini.Naib Ketua UMNO Bahagian itu didakwa sogok RM300 manakala dua ahli UMNO sogok RM200 untuk undi calon Ketua bahagian. Menurut satu kenyataan SPRM hari ini ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.- 20/1/2009


-----------------------

Norza beri keterangan 8 jam di pejabat SPRM…


Sepanjang Khamis perbualan yang paling hangat berkisar dikalangan ahli UMNO ialah teka teki siapakah ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dikaitkan dengan penahanan 12 orang perwakilan UMNO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Temerloh.

Ini kerana ia merupakan kes berprofail tinggi berbanding tiga orang yang didakwa di mahkamah di Ipoh,Melaka dan Jalan Duta Kuala Lumpur.

Serentak dengan itu timbul pandangan pro dan kontra dikalangan ahli parti mengenai perlunya sebuah agensi kerajaan iaitu SPRM, yang bertindak ‘ ikut buku’ dan undang-undang dilibatkan dalam soal dalaman parti.

Ini kali pertama SPRM yang dulunya dikenali sebagai BPR ambil tindakan keatas kes politik wang.

Sebelum ini gejala politik wang ditangani oleh Lembaga Disiplin UMNO yang hanya mengenakan ‘ hukuman politik’ keatas mereka yang didapati bersalah berbanding dengan denda atau penjara jika di mahkamah.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menjadi tumpuan,Datuk Norza Zakaria telah memberi keterangan selama lapan jam di pejabat SPRM Cawangan Temerloh bermula pada kira-kira jam 9.30 pagi Khamis.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan Majlis Teringgi UMNO pada pemilihan parti itu Mac ini.

Sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu,Norza berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yackop.

Rabu, 12 ahli UMNO yang berkenaan telah memberi keterangan masing-masing kepada SPRM.- 22/1/2009




--------------------------

Lepas jumpa Ahli MT...kena jumpa SPRM pula

Makin gempar… Jika sebelum ini, perhatian semua ahli UMNO tertumpu kepada Naib Ketua UMNO Bahagian mana dan siapa dua ahli parti itu yang akan dihadapkan ke mahakamah bagi menghadapi kes rasuah politik hari Khamis, muncul satu lagi berita gempar yang dikatakan ada kaitan dengan isu seumpamanya.

Kali ini, ia turut membabitkan pemimpin di peringkat UMNO Bahagian dan beberapa orang yang berstatus perwakilan UMNO Bahagian.

Malah lebih panas, 12 orang yang terbabit telah diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di kediaman pemimpin Bahagian terbabit.

Ahli MT tersebut dikatakan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu Mac depan.

Difahamkan, serbuan itu dibuat oleh SPRM di kediaman tersebut milik pemimpin UMNO Bahagian Temerloh pada hari Selasa.

Ekoran ‘serbuan’ yang dibuat oleh SPRM berkenaan, kesemua mereka telah ditahan oleh SPRM untuk diambil keterangan.

Setelah melalui proses soal siasat selama hampir 24 jam, kesemua mereka dibebaskan hari Rabu dan pemimpin UMNO Bahagian berkenaan paling akhir dibebaskan iaitu kira-kira jam 7.00 petang.

Menurut sumber, selain pemimpin UMNO Bahagian berkenaan, terdapat juga beberap pemimpin UMNO dari Bahagian lain yang turut serta dalam pertemuan dengan Ahli MT berkenaan dan ditahan sama oleh SPRM.

Sehingga Rabu malam, tiada kenyataan rasmi dibuat oleh SPRM berhubung dengan kes berkenaan.

Namun sumber-sumber memberitahu, mereka ditahan bagi membantu siasatan dakwaan pemberian wang antara RM300 hingga RM500 bagi membantu ahli politik berkenaan untuk memenangi pemilihan jawatan MT.

Bagaimanapun beberapa orang yang terlibat dengan isu berkenaan ketika dihubungi mengesahkan penahanan oleh SPRM itu dan mereka telah memberi keterangan kepada SPRM. – 22/1/2009

No comments:

Post a Comment