Klik dan lihat

Wednesday, October 28, 2009

Rakyat berhak ke atas haknya.

Sabda nabi:
“Sesungguhnya Allah akan bersama pemimpin selagi mereka tidak zalim. Apabila dia zalim, Allah akan menyerahkan segala urusan kepada dirinya sendiri”.

Kata-kata ulama pula menyebut: “Sehari pemerintahan yang adil menyamai ibadat 40 tahun”.

Menurut ajaran Islam, kedua belah pihak, kerajaan dan rakyat yang diperintah sama-sama turut bertanggungjawab kepada Allah mengikut pangkat dan kedudukan masing-masing di mana dari mereka akan menerima ganjaran mengikut perbuatan masing-masing.

Ajaran Islam mengingatkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa. Kuasa dan amanah seharusnya digunakan mengikut apa yang diredhai Allah sesuai dengan ianya suatu yang dipinjam oleh Allah s.w.t. Dalam dunia Melayu, pemerintah dikaitkan dengan “daulat”. Hikayat Sejarah Melayu mengaitkan perjanjian di antara Sang Seperba yang mewakili golongan pemerintah dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat jelata. Demang Lebar Daun meminta Sang Seperba supaya memelihara kebajikan rakyat jelata dan sekiranya rakyat jelata menderhaka, mereka boleh dihukum jika terbukti kesalahannya mengikut syari’ah.

Sang Seperba meminta rakyat supaya taat kepada pemerintah dan Demang Lebar Daun bersetuju, dengan syarat pemerintah tidak menceroboh tanggungjawab mereka. Mereka berdua kemudiannya berikrar bahawa sesiapa dari mereka yang menceroboh ikrar itu maka biarlah Allah menentukan balasanNya.

Ertinya, ketaatan kepada kerajaan bukanlah dibuat secara membuta tuli. Ia berlangsung selama kerajaan berlaku adil dan menjaga kepentingan rakyat dengan amanah. Perjanjian ini juga menunjukkan bahawa pemerintah yang zalim akan dihukum dan dibinasakan Allah.

Alam Melayu selepas kedatangan Islam mengaitkan keistimewaan kerajaan dengan istilah “daulat” yang berasal dari perbendaharaan kata Arab yang bermaksud kuasa atau kerajaan. Pemakaian daulat di Alam Melayu dimaksudkan dengan kewibawaan, keunggulan dan keistimewaan yang dimiliki oleh pemerintah dan keturunannya. Sebenarnya, keistimewaan ini tidak dimiliki oleh semua pemimpin, tetapi oleh mereka yang terkenal dengan peribadi yang mulia, adil, saksama dalam urusan pemerintahan, kuat beribadat, berpengetahuan dan patuh kepada suruhan Allah dalam urusan pemerintahan.

“Daulat adalah kuasa dalaman berbentuk kerohanian yang lahir dan terserlah pada diri seorang raja yang memiliki ciri kehebatan dan keunggulan peribadi yang selari dengan kemahuan Islam.” Contohnya Sultan Ala’uddin Shah (mangkat 1488M) di Melaka terkenal kerana baginda mencontohi khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab, apabila baginda keluar menyamar pada waktu malam untuk mengetahui kehidupan sebenar rakyat jelata dan untuk memerangi kegiatan mencuri yang berleluasa di Melaka pada waktu itu.

Maulana Sultan Sharif Hashim pengasas Kesultanan Sulu (mangkat1480) terkenal kerana kebijaksanaan pemerintahan dan kepakarannya dalam bidang agama. Sultan ‘Alauddin Ri’ayah Shah (mangkat 1604M) dari Kesultanan Acheh pernah digelar sebagai wali kerana pencapaian kerohanian di bidang Tasawwuf.

Islam telah menerapkan identiti kepada sistem pemerintahan di mana pemimpin dianggap sebagai amanah Allah di muka bumi. Pemberian taraf ini sesuai dengan manusia sebagai khalifah Allah. Peranan pemimpin dikaitkan dengan fungsi mengawal dan mengawasi dunia dan makhluk lain di sekitarnya.

Penekanan peranan ini bertujuan mengingatkan pemerintah/pemimpin kerajaan yang segala kuasa yang ada bagi mentadbir dunia yang dipegang selama ini merupakan amanah ilahi sepertimana peranan rakyat biasa sebagai khalifah Allah. Kesemuanya harus menjalankan fungsi masing-masing mengikut kemampuan dan bidang tugas masing-masing. Pemerintah terutama pemimpin tertingi berfungsi lebih besar untuk memberikan perlindungan kepada rakyat jelata dan untuk melaksanakan hukum-hukum yang ditetapkan Allah.

Peri pentingnya peranan kerajaan dalam usaha menegakkan agama Allah sering ditekankan dalam buku-buku hikayat Melayu tradisional dan undang-undang Melayu Lama. Raja dan nabi diibaratkan dua permata dalam sebentuk cincin. Sejarah Melayu mengatakan “Raja Adil Raja di Sembah, Raja Zalim Raja disanggah”. Pemimpin yang adil selalunya bertindak seiringan dengan para nabi, kerana apabila pemimpin melaksanakan apa yang diperintah Sunnah Rasulullah samalah seperti dia memenuhi tugas menurut perintah Allah. Bukan kah pemimpin yang adil itu dimakbulkan doa`nya oleh Allah.

Menurut Ibn al-Azraq, seorang ulama besar mengingatkan ada beberapa perkara yang menjadi hak kerajaan yang mesti dipenuhi oleh rakyat:

* Taat, malah sesuatu perkara yang asalnya harus menjadi wajib apabila
diperintahkan kepada orang tertentu. Ini berkaitan dengan perintah yang
membawa kemaslahatan atau dihubungkan dengan siasah syar’iyyah.

* Memberikan nasihat, dalam maksud bersabar jika tidak mendapat keadilan, malah
mengingatkan baginda apabila baginda terlalai.

* Membayar kewajipan seperti zakat, justeru pemerintah lebih tahu siapa yang
lebih berhak menerima zakat itu. Keadaan akan menjadi mudarat apabila dana
baitul mal habis atau disalah gunakan.

* Hendaklah sentiasa berdoa kepada pemimpin yang adil. Kata-kata al-Tartushi:
Kalaulah kami ada doa yang mustajab nescaya kami akan berdoa kepada pemimpin.

* Tidak boleh ingkar perintah pemimpin selagi ianya baik, asalkan sahaja
pemimpin itu mendirikan sembahyang.

* Tidak boleh mencerca atau mencaci pemimpin. Hadis menerangkan maksud “Pemimpin
yang paling baik adalah pemimpin yang kamu kasihi dan pemimpin itu mengasihi
kamu. Pemimpin yang tidak baik ialah mereka
yang kamu benci dan ia membenci
kamu.


* Tidak melakukan perkara yang menunjukkan tidak hormat kamu kepada pemimpin.

* Tidak menyembunyikan perkara yang patut pemimpin tahu, iaitu perkara buruk
yang patut dihapuskan.

* Beradab dengan pemimpin.

* Menjauhi dari kezaliman.

2 comments: