Klik dan lihat

Wednesday, February 17, 2010

Parlimen Australia dan John Kerry Biadap dan tidak faham erti sejagat


AKIBAT daripada globalisasi, dunia tanpa sempadan, demokrasi liberal, hak asasi dan kebangkitan masyarakat madani, kehidupan kita telah dipengaruhi oleh insiden-insiden yang berlaku di luar sempadan kita. Perkembangan ini telah menghasilkan paradigma baru dalam hubungan antarabangsa. Kini, kita dapat perhatikan pertubuhan serantau, separuh rantau dan organisasi pelbagai hala, mula memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas.

Dunia hari ini tidak lagi dipisahkan oleh perbezaan ideologi, tetapi antara negara kaya dan miskin. Penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah memperluaskan jurang digital antara negara membangun dan negara maju. Secara umumnya, globalisasi adalah satu proses politik ekonomi, sosial dan budaya yang telah memusnahkan sempadan geopolitik antara negara.

Arus globalisasi melemahkan keupayaan negara bangsa dan pemerintahan untuk bertindak tanpa gangguan dalam membentuk dasar dalaman negara. Kebebasan negara merencana dasar ekonominya di peringkat domestik mengikut kehendak dan kepentingan, juga sering terjejas.

Pada masa ini kredibiliti sesebuah negara bangsa diukur dari sudut kemanusiaan dan hak asasi manusia. Tidak dapat dielakkan lagi bahawa kebergantungan antara negara mengakibatkan kejadian di sesebuah negara memberi kesan terhadap negara lain. Dengan itu timbullah persoalan sama ada prinsip ``tidak campur tangan'' secara holistik dapat dipertahankan ataupun dijustifikasikan lagi. Perkara ini telah dibahaskan secara berterusan. Sebilangan pemerhati berpendapat bahawa prinsip ``tidak campur tangan'' tidak patut menjadi amalan untuk semua keadaan.

Mereka menghujah bahawa skop krisis yang berlaku pada hari ini menimbulkan persoalan yang berbeza dari masa dulu. Mereka juga berpendapat prinsip `tidak campur tangan' yang dianuti begitu lama perlu dikaji semula dan diberi pendekatan baru oleh masyarakat antarabangsa bagi memberi jawapan yang sesuai dan tepat kepada masalah konflik.

Selepas era perang dingin kita menyaksikan peralihan daripada sistem pemerintahan komunisme dan kerajaan kuku besi kepada sistem kapitalisme dan demokrasi liberal. Lantaran itu, pendekatan mengenai hak asasi, kebebasan dan peranan masyarakat madani menjadi isu politik dalam negara dan menimbulkan masalah diplomatik di peringkat antarabangsa. Justeru, ia memerlukan anjakan pemikiran dan penerimaan untuk dilakukan perubahan secara radikal ataupun evolusi. Sudah pasti masing-masing ada kesannya yang tersendiri.

Konsep yang dianggap sejagat oleh sebahagian masyarakat antarabangsa membangkitkan kontroversi kerana pengalaman sejarah dan budaya di sesebuah negara berbeza. Masyarakat antarabangsa yang diwakili negara maju mahukan semua negara menerima pakai prinsip hak asasi untuk melahirkan masyarakat yang saksama dan adil. Mereka berpendirian bahawa amalan hak asasi dan masyarakat madani adalah prasyarat utama bagi membentuk sebuah negara demokrasi tulen, tanpa mengambil kira keadaan dan iklim setempat.

Negara membangun menghadapi cabaran hebat untuk mewujudkan pencapaian pembangunan sosial, budaya serta ekonomi dan pada masa yang sama menegakkan hak politik dan sivil rakyat. Mereka berusaha mencari keseimbangan antara hak politik dan sivil dengan hak untuk mengecapi nikmat pembangunan ekonomi, sosial dan budaya. Mereka juga tidak dapat menerima tekanan dari negara maju yang hendak mengenakan norma dan nilai negara maju sebagai sejagat untuk dipatuhi oleh negara membangun.

Hakikatnya di peringkat dua hala dan pelbagai hala, memang diakui bahawa undang-undang antarabangsa telah menyekat kebebasan mutlak sebuah negara merdeka dan berdaulat dari bertindak sesuka hati. Namun demikian pegangan ini tetap tertakluk kepada prinsip tidak mencampuri hal dalaman negara lain.

Sebaliknya bagi mereka yang mahu melihat supaya campur tangan dibolehkan berpendapat kedaulatan sesebuah negara terpakai jika nilai sejagat terhadap hak asasi diamalkan dan jenayah kemanusiaan tidak berlaku di dalam negara tersebut. Apabila berlaku kezaliman yang tidak berperikemanusiaan dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan di sesebuah negara, maka negara tersebut dianggap hilang hak kedaulatannya. Dalam aspek inilah prinsip konvensional kedaulatan negara dan wilayah kelihatan dipersoalkan. Yang manakah patut diberi keutamaan jika timbul pertentangan antara hak asasi manusia dan hak negara?

Malaysia sudah merdeka dan kita mempunyai undang-undang sendiri tanpa perlu terikat dengan mana-mana kuasa besar, apatah lagi Amerika Syarikat. Biarlah undang-undang di Malaysia yang menentukan sama ada kes terhadap Anwar benar atau tidak dan ia bukan memerlukan campur tangan Amerika Syarikat seperti dakwaan Senator Negara AS, John Kerry yang akan menentang siasatan dan pendakwaan bermotif politik ke atas Anwar. Dakwaan Kerry bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai motif politik terhadap Anwar Ibrahim adalah satu andaian berniat jahat dan tidak demokratik.


Amerika Syarikat sepatut belajar menghormati undang-undang kerana Malaysia mempunyai undang-undangnya sendiri. Biarkan pihak Mahkamah untuk menentukan kesahihan apa yang berlaku dan bukannya memerlukan campur tangan Amerika Syarikat.

Malaysia bukan seperti Amerika yang penuh dengan pencabulan undang-undang.Amat hina dan dina sekiranya ada pihak yang cuba berpaksi kepada kejahatan dunia iaitu Amerika,Israel dan Australia.Yang berpaut kepada dahan songsang seharusnya berasa malu dan menginsafi diri.Perhalusi dan amati bukan membuat pertimbangan mengikut tipu daya syaitan dan munafik yang pandai berlakon selagak pelakon opera.

No comments:

Post a Comment