Klik dan lihat

Monday, June 28, 2010

Kerajaan seharusnya memikirkan kaedah pendidikan yang terbaik untuk umat islam.

Sistem pendidikan adalah salah satu punca yang membawa keruntuhan akhlak. Sistem yang tiada bermatlamat melahirkan khalifah Allah yang mentadbir bumi dengan sifat mentauhidkan Allah, merendah diri dan patuh pada Allah dalam kehidupan, membawa bencana pada bumi ini.

Anak-anak dididik untuk hanya mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan mendapat pekerjaan demi jaminan diri dan keluarga di masa depan, bukannya pekerjaan diatas ubudiah kepada Allah sebagai khalifah Allah.

Lahir masyarakat yang tiada Tuhan dan Nabi dalam pelajaran, pekerjaan dan kehidupan. Kesannya lahirlah masyarakat yang sombong dan angkuh apabila ada pangkat atau harta, golongan yang berputus asa apabila tiada kejayaan, si miskin melihat si kaya dengan dengki dan permusuhan, si kaya melihat si miskin dengan penuh hina dan takut menghampiri. Si cerdik merasa dirinya pandai dalam segala hal, si bodoh menganggap dirinya lemah dalam segala hal, tiada lagi sifat menghormati dan kasih sayang.

Sistem pendidikan jika tiada diubah, bagaikan pusat penyembelihan akidah umat Islam kerana sistem pendidikan yang berasaskan sekular, tiada membawa hamba ini mengenal Allah dalam ilmu sejarah, sains fizik, sains alam, biologi, kedoktoran, ekonomi, psikologi dan lainnya. Umat Islam diseret dengan pemikiran dan cara hidup Barat sedikit demi sedikit tanpa disedari sehingga tercabutnya Ruh Islami dalam dada melalui sistem pendidikan.

Pergaulan bebas, anak luar nikah, tiada menghormati ibu bapa dan guru, jiwa kasar, budaya melepak, bohsia, bohjan, mat rempit, ketagihan dadah dan lain-lain lagi adalah kesan daripada jiwa yang kosong dengan agama dan matlamat hidup.

Anak-anak Melayu adalah golongan yang mudah terjerumus dalam segala kancah yang bahaya ini kerana agama dan matlamat yang jelas tiada dalam hidup mereka, apatah lagi merasa selesa bahawa mereka adalah tuan bagi Negara ini. Bangsa lain seperti Cina dan India, walaupun mereka tiada pegangan agama yang bertauhidkan Allah, tetapi matlamat mengumpul kekayaan dan menyedari bahawa mereka kaum minoriti menyebabkan mereka tidak membenarkan diri berada pada zon selesa, mereka berusaha keras agar masa depan mereka dan kaum keluarga mereka terjamin.

Pendidikan wajib diubah dengan matlamat yang jelas bagi anak-anak Islam, ditanam kesedaran sebagai khalifah Allah, mencintai Negara dan mensyukuri nikmat sebagai pentadbir di bumi ini.

Penubuhan sekolah atau pusat pendidikan yang menuju ke arah penggabungan aspek agama dan kemahiran dunia yang didirikan oleh kerajaan atau swasta seperti Kospint, Imtiaz, Institut Al-Quran Terengganu dan lainnya adalah suatu usaha yang wajar disokong oleh semua pihak, walaupun masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu dibaiki. Penulis akan memberi dukungan dan bersedia memberi kerjasama kepada usaha-usaha yang memberi kebaikan kepada agama, generasi dan negara.

No comments:

Post a Comment