Klik dan lihat

Thursday, June 3, 2010

kisah Melayu...aku ingin jadi melayu yang berjaya..keghairahan dan kesan buruk

Tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan keperluan rohani itu sama beratnya dengan tanggungjawab memberikan kemajuan material kepada rakyat.

Setakat manakah tanggungjawab itu telah dipenuhi?

Kita sering mendengar pemimpin-pemimpin kerajaan bercakap tentang matlamat untuk membentuk masyarakat yang stabil, lahiriah dan batiniah. Kita sering mendengar mereka menyeru supaya rakyat – dalam konteks ini, Melayu – berusaha untuk menjadi insan yang sempurna, yang mampu berjaya tanpa mencacatkan nilai-nilai moral dan kemanusiaannya. Dari situ telah timbul pelbagai istilah, umat berwawasan, insan cemerlang, masyarakat madani dan bermacam-macam lagi.

Tetapi cukupkah dengan itu?

Adakah apa yang disuarakan itu bertepatan dengan langkah-langkah yang diambil atau sebaliknya ia sekadar menjadi retorik politik semata-mata? Kita membelanjakan jumlah yang banyak untuk tujuan pembangunan. Kita persiapkan pelbagai kemudahan untuk menarik pelaburan asing. Tetapi berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk menangani gejala sosial? Berapa banyak prasarana yang kita sediakan bagi kemudahan menangani gejala-gejala itu. Balik-balik kita cuma bergantung pada seruan pemimpin, kerja keras polis dan pencegah maksiat. Pendekatan yang digunakan terus-menerus bersifat konvensyenal, tidak seimbang langsung dengan elemen-elemen perosak yang saban hari bertambah canggih. Sudahlah begitu, usaha-usaha melaksanakan pendekatan itu pun masih kita lakukan secara sambil lewa.

Setakat sekarang, berapa keratkah pemimpin yang sedar bahawa tanggungjawab merawat bangsanya yang sakit itu lebih besar daripada kewajipan menyuapkan sudu emas ke mulut mereka? Mereka beria-ia hendak menjadi jaguh hak asasi manusia, menjadi juara di peringkat antarabangsa, menjadi hero dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan bangsa dan umat lain di seberang laut. Mereka lupa pada kudis di kelopak mata.

Banyak remaja Melayu sedang sakit. Banyak juga ibu bapa mereka yang sedang tenat. Kita mengaku mereka mungkin silap sebab gagal membina jati diri sehingga menjadi begitu lemah dan mudah kalah pada asakan-asakan luar yang merosakkan.

Tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sedar. Kalau sedar mereka mungkin tidak akan melakukannya. Apakah yang telah kita lakukan untuk menyedarkan mereka?

Setiap kali timbul isu yang membabitkan gejala buruk di kalangan remaja Melayu, akan kedengaranlah di sana sini suara yang bercakap mengenainya. Akan muncullah sekerat dua pemimpin yang cuba menyelesaikannya. Apa yang kita lakukan untuk menyambut usaha mereka? Setakat mana sokongan yang diberikan? Berterima kasih pun tidak. Yang sering terjadi ialah kita menjuihkan bibir sehingga akhirnya si pemimpin itu malu sendiri dan menghilangkan diri.

Kita juga kerap mendengar penubuhan jawatankuasa itu dan jawatankuasa ini, badan itu dan badan ini, yang kononnya bertujuan menangani masalah sosial di kalangan remaja Melayu. Apakah kesudahannya? Setakat mana kejayaannya? Adakah cukup setakat menggelengkan kepala apabila membaca berita remaja Melayu membuang anak di dalam tandas atau di tepi jalan?

Dalam hubungan ini perlu rasanya ditanya, tidak bolehkah organisasi-organisasi yang membabitkan Melayu, sama ada NGO atau bukan, parti pemerintah atau pembangkang, melupakan apa sahaja perbezaan antara mereka dan kemudian duduk semeja untuk mencari jalan menangani isu yang kronik ini? Berat sangatkah untuk berbuat begitu? Besar sangatkah dosanya? Adakah ketidak serasian fahaman antara organisasi itu lebih penting dan lebih mulia dipertahankan daripada kehormatan bangsa sendiri?

Masalah ini membabitkan semua Melayu, jadi penyelesaiannya juga harus melibatkan semua Melayu. Selagi tidak ada kerjasama padu ke arah itu, jangan haraplah ianya akan dapat diselesaikan. Paling lebih, usaha-usaha mengatasinya hanya akan menjadi bahan cemuhan, bukan daripada kalangan bukan-Melayu, tetapi daripada Melayu-Melayu lain yang tidak terlibat dengan usaha tersebut.

Perspektif dan pradigma kita terhadap soal ini memerlukan perubahan yang total. Ia tidak boleh lagi dianggap isu iseng-isengan yang peranannya cuma setakat untuk mempopularkan seorang dua tokoh. Kita perlukan komitmen yang lebih daripada itu.

Kita telah pernah melancarkan perang untuk membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita boleh dikatakan berjaya, walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan.

Langkah yang sama perlu untuk mengatasi masalah masalah sosial yang membabitkan remaja Melayu. Kita patut berjihad ke arah itu. Patut berganding bahu. Patut bersatu. Tetapi ini tidaklah bermakna kita perlu menangkap dan menghukum semata-mata. Tidak juga bererti kita mesti mengharamkan yang itu dan yang ini. Tanggungjawab kita lebih besar daripada itu.

Remaja Melayu, seperti ibu bapanya juga, berada dalam keadaan sedang terkejut. Kemajuan dan kesenangan mendadak menyebabkan mereka terkapa-kapa. Dalam keadaan bingung begitu mereka tidak mampu membuat keputusan. Mereka akan bertindak melakukan apa sahaja yang difikirkan betul.

Kejutan besar itu telah melekakan mereka. Kejutan itu menyebabkan mereka lupa pada perisai dan benteng yang mereka ada.

Mereka tidak patut dihukum dengan membiarkan masing masing terus hanyut dalam kemelut itu. Mereka perlu dibantu. Perlu disokong. Perlu disedarkan.

Pada masa-masa akan datang pemerintah sepatutnya lebih berhati-hati dalam merangka dan melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Jangan berikan tumpuan pada kepentingannya terhadap sektor ekonomi sahaja. Kajian menyeluruh juga harus dibuat terhadap kesan sosial yang mungkin dicetuskannya. Tidak ada salahnya berbelanja lebih sedikit untuk tujuan itu. Jangan sekadar memikirkan berapa banyak peluang pekerjaan yang bakal disediakan oleh projek itu, tetapi fikirkan juga berapa banyak anak Melayu yang akan jahanam kerananya.

Persiapan untuk memantau harus dibuat lebih awal. Janganlah menanti sehingga terhantuk. Ambil sahaja kes kewujudan arked-arked video haram, dan arked berlesen yang menjalankan aktiviti perjudian. Keseronokan mengutip wang lesen yang tidak seberapa menyebabkan kita membiarkan pusat-pusat aktiviti tidak sihat itu merosakkan remaja kita untuk tempoh yang cukup lama. Selepas semuanya menjadi barah, baru kita bertindak. Hasilnya? Kita diketawakan.

Dalam keghairahan melaksanakan projek-projek yang telah dan sedang dirangka, perhatian besar harus diberi pada aspek pembinaan rohani anak-anak Melayu. Mereka perlu dipupuk supaya mempunyai kekuatan mental. Mereka perlu diasuh supaya berani berkata tidak kepada apa sahaja pengaruh yang tidak elok.

Kita tidak bermaksud mengatakan ada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan setakat ini membawa kesan buruk pada struktur sosial orang Melayu. Secara positif kita menganggap apa sahaja yang dilakukan adalah baik.Bagaimanapun nilai kebaikan itu harus ditambah dengan menutup sama sekali ruang-ruang yang dianggap boleh membawa elemen buruk.

No comments:

Post a Comment