Klik dan lihat

Wednesday, June 23, 2010

Layak kah Homoseksual menjadi Pemimpin ?

KEADAAN dunia kini jika diperhatikan sememangnya dihambat dengan arus kemodenan. Pelbagai teknologi baru berjaya dicipta atas alasan untuk memenuhi kehendak manusia. Namun dalam kita mengakui peradaban moden ini kita juga turut dihimpit dengan kehendak manusia yang tidak terbatas.

Seiring dengan kemodenan, nafsu manusia juga menjadi pelbagai dan tidak lagi terbatas kepada hubungan yang diredai antara lelaki dan wanita. Di barat hubungan sejenis yang lebih dikenali sebagai homoseksual dan lesbian semakin mendapat tempat di kalangan penduduknya.

Negara-negara barat mula mengiktiraf perkahwinan sejenis walaupun bagi kebanyakan kita terasa seperti hendak melaknat mereka ini. Malah para pemimpinnya turut tidak teragak-agak untuk memberitahu kepada umum bahawa mereka adalah pengamal homoseksual.

Melihat keadaan ini kita sendiri pun musykil di mana kewarasan mereka sehingga sanggup memilih pemimpin yang tidak bermoral dan tidak faham kecenderungan seksual mereka sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin dan masyarakat yang bergelumang dengan kegiatan keji ini dilaknat tuhan.

Pelbagai pembalasan telah ditunjukkan tuhan seperti yang berlaku kepada umat Nabi Luth a.s. Namun manusia tidak pernah serik dan sentiasa lupa dengan sejarah yang telah berlaku. Mungkin kerana terlalu mengejar masa depan maka sejarah lampau telah disisihkan atas alasan ia bukan lagi sesuatu yang relevan pada masa sekarang.

Jika kita lihat kembali sejarah terutama ketika zaman Greek dan Rom, golongan homoseksual berada di puncaknya ketika itu. Ini kerana kedudukan mereka ini setaraf dengan hubungan antara lelaki dan wanita. Bukan sahaja homoseksual dilihat sebagai sesuatu yang biasa ketika itu malah sebut apa saja dari biseksual, seks dengan kanak-kanak semuanya dilakukan tanpa batasan.

Lebih malang lagi kebanyakan perbuatan terkutuk ini dilakukan oleh pemimpin kelas atasan atau aristokrat. Apabila pemimpin seperti Caligula memerintah Rom maka semuanya dibenarkan kerana dia sendiri yang mahu semua kegiatan melampau ini dilakukan. Dalam erti kata lain Caligula mahu merasa semua perbuatan seks ini tanpa batasan yang kemudian menjadi contoh kepada rakyatnya. Namun dia akhirnya mati dibunuh akibat kegilaannya sendiri.

Lebih melucukan tuhan yang mereka sembah ketika itu turut digambarkan sebagai seorang yang homoseksual. Seperti tuhan Zeus yang digambarkan mempunyai hubungan dengan Ganymede serta tuhan Apollo yang mempunyai ramai kekasih dari kalangan lelaki. Memang benar kedua tamadun ini sangat gah dan hebat pada zamannya namun akibat dari terlalu asyik dan hanyut dengan "syurga" yang mereka cipta sendiri, ia akhirnya menjadi punca utama kemusnahan mereka.

Kesan

Dan sejak itu kita hanya mampu melihat kesan dan runtuhan kehebatan mereka yang masih tinggal malah kita boleh melihat sendiri bagaimana golongan homoseksual ini menerima pembalasannya di bandar Pompeii di Itali.

Selepas hilangnya pengaruh kedua tamadun ini kehidupan golongan homoseksual menjadi sepi kerana masyarakat barat ketika itu melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang keji dan di luar batasan norma-norma kemanusiaan. Ditambah pula masyarakat ketika itu lebih berpendirian dan menerima agama seperti Islam dan Kristian sebagai cara hidup mereka.

Walaupun ada pendapat yang menyatakan bahawa beberapa pemimpin dan seniman terkenal barat adalah gay seperti Michelangelo, William Shakespeare dan King James I namun mereka ini tidak mahu mengumumkan secara terbuka kerana takutkan pandangan buruk masyarakat.

Oleh itu mereka akhirnya memilih menjadi seorang hipokrit kerana takutkan kecaman dan pandangan serong masyarakat. Di luar mereka dilihat sebagai seorang lelaki tulen dan perkasa tetapi hakikatnya kehendak seksual mereka tersasar dari kehendak lelaki sebenar.

Oleh itu mereka sanggup berselindung tentang identiti sebenar daripada pengetahuan masyarakat sepanjang umur mereka daripada menanggung malu dan musibah.

Itulah akibat yang terpaksa ditanggung oleh para pemimpin dan golongan gay zaman pertengahan. Mereka tidak bebas mengamalkan kehidupan yang dilaknat akibat dari kekangan keras agama dan masyarakat. Ahli agama sama ada Islam dan Kristian menolak keras kewujudan dan kelakuan homoseksual. Mereka yang melakukan hubungan dan terlibat dalam hubungan jenis akan dikenakan hukuman yang berat termasuklah hukuman mati.

Namun sebagai manusia perkembangan dan kebebasan pemikiran yang dinikmati dari hari ke hari telah membolehkan kemajuan dicapai. Kewujudan sebuah negara baru yang meletakkan batu asas kepada sistem demokrasi iaitu Amerika Syarikat pada 4 Julai 1776 kemudian diikuti Revolusi Perancis pada 1789 telah mencatat sejarah baru dunia. Diikuti dengan kemunculan revolusi industri pada 1865 sehingga tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914-1918 telah mengubah keseluruhan lanskap sosial dan politik dunia.

Sejak dari itu manusia semakin maju menilai dan membangunkan segala yang diperlukan untuk memenuhi kehendak diri. Maka kita menyaksikan pelbagai kemajuan dicapai sepanjang abad ke-19 hingga kini.

Jati diri

Namun kemajuan yang diterima terpaksa dibayar pada harga yang mahal di mana ia turut sama merobah nilai harga dan jati diri manusia kerana sejak dari itu manusia dilihat semakin menolak konsep ketuhanan dan mengamalkan pemikiran bebas.

Jika dilihat secara serius dan mendalam manusia kini mula kembali berperangai seperti mereka di zaman Greek dan Rom. Kita boleh lihat sendiri kelakuan manusia yang mula menerima malah berbangga menjadi seorang homoseksual. Malah di barat mereka mula menerima golongan homoseksual sebagai pemimpin mereka.

Di mana silapnya dan kenapa mereka boleh dipilih sebagai pemimpin adalah sesuatu yang sangat memualkan. Pada penghujung 1990-an kita masih melihat skandal homoseksual membabitkan pemimpin masih tidak diterima oleh masyarakat. Ini yang terjadi kepada Setiausaha Wales, Ron Davies, Setiausaha Kebudayaan, Chris Smith dan Peter Mandelson, sekutu rapat Perdana Menteri Britain ketika itu Tony Blair yang menjawat jawatan Setiausaha Perdagangan dan Industri. Kesemua mereka telah dihentam teruk oleh akhbar sehingga mereka meletak jawatan dalam Kabinet kerana terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Begitu juga hipokrasi Gabenor New Jersey, James McGreevey yang berselindung di sebalik kebahagiaan hidup berumah tangga terbongkar apabila dia mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2004 walaupun hakikatnya dia seorang biseksual.

Namun masyarakat harus bertanya adakah golongan homoseksual sebegini perlu diberikan peluang untuk menjadi pemimpin. Walaupun dari segi pemikiran, keupayaan dan kehebatan sebagai seorang pemimpin seseorang itu sangat terserlah namun akibat kegagalan nafsu sama ada dia seorang homoseksual mahupun biseksual, apakah perlu golongan seperti ini diberi peluang untuk menjadi pemimpin.

Sewajarnya mereka ini tidak layak untuk menjadi bukan sahaja pemimpin negara malah pemimpin keluarga pun belum tentu boleh kerana kegagalan memahami fungsi seksual diri sendiri. Tuhan telah menunjukkan contoh apa yang berlaku terhadap umat Nabi Luth a.s malah kita sendiri boleh melihat sendiri kesan yang menimpa penduduk bandar Pompeii.

Bagi umat Islam kita percaya apa yang berlaku terhadap kaum Nabi Luth a.s adalah pembalasan tuhan namun mungkin pembalasan sebegitu tidak akan berlaku sekarang. Namun kita sendiri boleh berfikir bahawa tuhan itu maha berkuasa dan pembalasan akan datang dalam pelbagai bentuk. Oleh itu memandangkan negara ini sudah cukup makmur dan maju dalam segala aspek maka tidak perlulah kita merosakkannya dengan memilih pemimpin yang terlibat dalam kegiatan homoseksual pada masa depan. Hakikatnya kita tidak memerlukan pemimpin sebegini bukan sahaja agama tidak membenarkannya malah masyarakat yang bermoral juga tahu orang seperti ini tidak layak menjadi pemimpin.

dipetik

No comments:

Post a Comment