Klik dan lihat

Wednesday, June 23, 2010

Peringatan untuk puak-puak PAS.

MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.

Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.

Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari.

Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi?

Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?

* Kegelapan di dalam hati

Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati! Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.(Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)

Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.

Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.

* Kegelapan di wajah

Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.

* Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain

Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi:

“Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”

Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?

Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.

Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.

Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:

Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat:

“Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.

Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata:

“Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.”

Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.

Sememangnya kehidupan kita tidak statik sepanjang masa. Setiap masa sentiasa ada perubahan sama ada menjadi lebih baik mahupun lebih buruk sebagai satu roda kehidupan yang mesti dihadapi.

Sudah menjadi lumrah ada yang dulunya miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya. Sebelumnya tidak dikenali, sekarang amat terkenal, disanjung dan dihormati.

Kekayaan dan kedudukan baik yang diperoleh itu harus dikongsi dengan orang lain sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya, manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain.

Satu sifat berbahaya yang selalu menjangkiti orang yang kedudukannya lebih baik berbanding orang lain ialah lupa diri. Sikap itu sering kali mendorong seseorang bertindak melakukan kejahatan kerana berasakan dirinya "berhak" melakukan apa yang diingini.

Sikap lupa diri dan tidak bersyukur menjadi punca kedurhakaan iblis kepada Allah. Iblis berasakan dirinya lebih layak untuk dilantik menjadi khalifah berbanding Adam memandangkan dirinya dicipta daripada api dan sudah banyak melakukan kebaikan.

Iblis lupa hakikat dirinya yang sebenarnya hanyalah hamba. Dia tidak bersyukur dengan kedudukan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadanya. Maka jadilah iblis sebagai hamba yang ingkar dan tergolong sebagai dilaknati selama-lamanya.

Untuk mengelak diri menjadi kufur dan ingkar kepada Allah, berpeganglah kepada prinsip sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh dan dinikmati. Sikap itu akan memacu diri sentiasa tenang dan menerima segala ketentuan Allah tanpa sebarang perasaan syak wasangka kepada-Nya.

Namun, sikap bersyukur tidak pula bermakna kita berserah sepenuhnya kepada nasib tanpa melakukan apa-apa usaha. Hidup di dunia ini satu ladang untuk mencari bekal kehidupan di akhirat yang mana kita mesti melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa ditegah.

Sesungguhnya, setiap apa yang kita harapkan tidak semestinya tercapai. Banyak kegagalan dan keadaan buruk terpaksa pula dihadapi dengan sikap sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu bersyukur kerana masih ada peluang untuk terus berusaha mencapai apa yang dihajati.

Setiap Muslim mesti berusaha mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Nasib buruk tidak akan bertukar menjadi baik jika tidak berusaha mengubahnya.

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu, berharta dan berkuasa melebihi orang kebanyakan jika mereka sentiasa bersyukur. Namun, darjat itu kembali ke taraf paling rendah jika dirinya sombong tidak mahu menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Apa guna memiliki kekayaan jika tidak mahu digunakan. Sifat bakhil dan sombong menjadi penjara yang menghalangnya menikmati kekayaan dimiliki. Malah, hidupnya menjadi lebih tertekan kerana takut harta itu berkurangan atau digunakan oleh orang lain.

Begitu juga, orang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmu itu daripada disebarkan kepada orang lain sebenarnya hidup dalam kegelapan. Sifat ilmu, semakin digunakan semakin bertambah keberkatannya. Orang berilmu mendapat kebaikan jika ia turut dikongsikan dengan orang lain.

Individu yang dikurniakan kelebihan sama ada kekayaan, jawatan, kuasa dan kecantikan mestilah menghindarkan diri daripada sifat sombong yang mendatangkan banyak keburukan. Perasaan sombong menjadi penyakit hati yang mematikan iman sehingga hidup menjadi sesat tanpa cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.“ (Hadis riwayat Muslim)

Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terhindar sifat sombong dan lupa diri, memerlukan satu kekuatan yang memacukan sifat bersyukur di dalam diri. Orang yang bersyukur merasakan setiap kelebihan dimiliki olehnya hanyalah satu ujian daripada Allah.

Allah memberi peringatan supaya manusia bersyukur kerana dengan itu Dia akan melipatgandakan lagi nikmat yang diberikan. Sebaliknya, jika kufur akan nikmat yang dianugerahkan, kerugian besarlah bakal menimpa.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.(Surah Ibrahim, ayat 7)

No comments:

Post a Comment