Klik dan lihat

Tuesday, July 13, 2010

Kes Bala dipolitikkan

Diceduk dari http://www.ourdifferentview.com/?p=204

SEJAK awal lagi saya tertanya-tanya apakah istimewanya P.I Bala sehingga SPRM terpaksa tunduk mengikut telunjuk dan rentak mainan politik peguamnya. Saya menyokong pandangan dan nasihat Jabatan Peguam Negara agar SPRM tidak meneruskan niat bertemu dengan P.I Bala di London.

Hanya membazirkan wang, masa dan tenaga menemui seorang saksi yang boleh diibaratkan sebagai lalang, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Sekiranya beliau benar-benar jujur dan ikhlas untuk menegakkan kebenaran serta keadilan, beliau pasti sanggup tampil menemui SPRM tanpa syarat.

Kes ini amat unik kerana seharusnya apa jua tindakan dalam melaksanakan siasatan wajar diklasifikasikan sebagai rahsia demi keselamatan saksi. Namun, kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan dalam media. Sehinggakan ada surat rahsia dipaparkan dalam laman web untuk tatapan umum.

Kesemuanya ibarat plot dalam sebuah drama yang penuh dengan tanda tanya. Hanya peguam P.I Bala yang tahu tentang motif dan tujuan sebenar di sebalik kenyataan dan tindakan mereka. Kesemua tindakan melarikan, menyorok, provokasi dan kenyataan dalam media menjelaskan bahawa ia dirancang dengan amat teliti untuk tujuan politik pihak tertentu. SPRM digunakan sepenuhnya sebagai punching bag bagi menghentam dan memburukkan pihak lain. Ia tidak adil kerana agensi ini hanya menjalankan tugas. Seringkali dilihat SPRM terperangkap dengan mainan politik ini.

Langkah SPRM menawarkan P.I Bala agar mengemukakan afidavit atau akuan bersumpah sebagai ganti kepada rakaman pernyataannya dianggap wajar. Selama ini pun, terlalu banyak syarat yang dikenakan oleh P.I Bala. Sebagai contoh beliau mahu ketika rakaman percakapan, barisan peguamnya dibenarkan hadir sama. Rakaman juga dibuat dalam bentuk video dan beliau yang menentukan tempat dan sebagainya. Bukankah dengan tawaran menyediakan afidavit jawapan yang diberikan kepada P.I Bala ini memenuhi tuntutan beliau selama ini. Oleh itu tidak sepatutnya peguamnya menolak tawaran SPRM ini.

Sebagai rakyat biasa saya terkejut juga apabila SPRM terperangkap menerima pujukan peguam P.I Bala untuk bertemu di London. Sekiranya SPRM menerima tawaran tersebut dan pergi ke London, mereka akan berhadapan dengan pelbagai masalah perundangan. Antaranya adalah:

Kes rakaman percakapan saksi Malaysia di luar negara seperti P.I Bala ini akan menjadi precedent case untuk kes lain di masa hadapan. Bayangkan selepas ini semua saksi yang ingin dirakamkan percakapannya akan mengenakan syarat untuk dirakam percakapannya di luar negara.

Kebolehterimaan pernyataan saksi boleh dipertikaikan dan tidak diterima oleh mahkamah sekiranya perbicaraan berlangsung kerana proses rakaman percakapan saksi di luar negara perlu menggunakan perundangan dan prosedur yang berbeza iaitu menerusi Akta Bantuan Bersama Mencegah Jenayah 2000 (Mutual Legal Assistance in Criminal Matters). Kalau kita boleh mengimbau apa yang berlaku dalam kes Perwaja, di mana keterangan saksi-saksi di luar negara tidak diterima di mahkamah kerana dianggap tidak sah walaupun ia mengikut MACMA.

Kuasa pegawai SPRM terlucut sebaik sahaja mereka melangkaui sempadan negara ini. Jadi apakah kuasa mereka ketika berada di London untuk memberi amaran kepada saksi dan merakam percakapan saksi.

Ketika berada di London maka undang-undang tempatan (Britain) akan digunakan sepenuhnya. Ini merupakan kelebihan kepada pihak P.I Bala di mana beliau sudah tentunya akan membawa peguam tempatan bagi mengiakan apa jua permintaannya.

Undang-undang di London amat berbeza dengan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah di mana peguam dibenarkan masuk semasa proses rakaman percakapan diambil dan rakaman video juga boleh diambil. Sekali lagi pegawai SPRM akan terperangkap dengan perancangan teliti mereka.

Pemergian pegawai SPRM ke London menggunakan visa-on-arrival adalah hanya sebagai pelawat atau pelancong yang tidak dibenarkan menjalankan apa-apa pekerjaan. Pegawai ini mungkin berhadapan dengan tindakan imigresen kerana menjalankan ‘pekerjaan’ di London.

Saya melihat tindakan SPRM memberikan peluang kepada P.I Bala untuk mengemukakan kenyataan melalui perakuan bersumpah atau afidavit suatu yang sah dan dibenarkan undang-undang.

Berdasarkan afidavit yang dikemukakan ia boleh dijadikan asas untuk SPRM menilai dan memberi petunjuk serta panduan kepada SPRM untuk menentukan hala tuju siasatan. Sekiranya maklumat tambahan diperlukan maka ia boleh diaturkan pertemuan seterusnya. Apa yang penting di tahap ini ialah maklum balas atau keterangan sebenar P.I Bala. Adakah ia benar-benar wujud dengan disokong oleh fakta dan dokumen yang relevan atau hanya rekaan yang membuahkan publisiti negatif kepada SPRM.

Seperkara yang penting, P.I Bala juga harus ikhlas dan jujur untuk memberikan pernyataannya bukan setakat perakuan bersumpah malahan sanggup tampil memberi keterangan dan soal balas dalam mahkamah sekiranya kes ini dibawa ke muka pengadilan.

KHOO CHAI LEE

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment