Klik dan lihat

Wednesday, October 27, 2010

Kisah Menara Babel dan Ulangan sejarah bagi yang berfikir (2)



Jumlah kerahan tenaga yang ramai menyumbang ke arah pembinaan menara ini. Ketinggiannya meningkat dengan pantas, lebih cepat daripada yang disangkakan. Proses pembinaan itu hanya mengambil masa 43 tahun dan ini adalah pencapaian mengagumkan bagi manusia ketika itu.

Namun disebabkan ia dibina dengan keadaan terlalu tebal kerana mengambil kira kekuatan bagi menampung struktur itu, maka ketinggian yang sebenar tidal begitu menyerlah pada pandangan kasar kerana ditenggelami ketebalannya.

Allah tidak terus menurunkan azab seksa kepada kegilaan mereka itu walaupun dengan nyata mereka tidak menggambil iktibar daripada kemusnahan kaum silam akibat dosa yang dikerjakan, terutamanya pengajaran daripada peristiwa banjir besar yang berlaku sebelum mereka.

Namun, Allah hanya menimbulkan kacau-bilau antara mereka dengan menjadikan mereka bertutur pelbagai bahasa yang berlainan hingga mereka tidak dapat berkomunikasi sesama sendiri sedangkan pada asalnya seluruh manusia hanya bertutur dengan satu bahasa yang sama. Hanya seorang sahaja yang dikekalkan dalam bahasa asalnya sendiri. Ada pendapat mengatakan bahasa itu adalah bahasa Syria dan ada pula yang mengatakan bahasa Hebrew. Ia berlaku kerana keengganannya menyertai pembinaan menara itu. Beliau adalah salah seorang daripada nenek moyang Nabi Ibrahim yang bernama Eber. Ada pendapat yang mengatakan beliau adalah Nabi Hud. Sempena kekeliruan dan kekalutan dalam pertuturan yang berlaku ini, dinamakan menara itu dengan nama Babel kerana perkataan ini adalah berasal daripada bahasa Hebrew yang bermaksud 'kekeliruan'. Tempat ini sekarang dinamakan Babylon dan didalam Al-quran, nama ini pula disebut sebagai Babil.

Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah yang dibicarakan sebentar tadi. Antaranya adalah berdasarkan kalam tauhid ' Lailahaillallah ' yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah. Daripada aspek ini, kita dapat melihat makna daripada kalam tauhid ini iaitu bermula dengan menafikan segala-segalanya sebagai tuhan dan kemudian diakui dengan pengecualian kepada Allah sahaja.

Maka daripada satu sudut, Kita perlu memastikan sekalian orang islam tidak dijajah dalam apa bentuk sekalipun sama ada pendidikan,ekonomi,politik, dan lain-lain lagi supaya penafian terhadap tuhan-tuhan yang lain itu dapat berlaku secara optimum. Paling penting, kemerdekaan daripada sebarang cengkaman dan ketakutan demi mentauhidkan tuhan yang esa. Dapatkah rakyat sesebuah negara itu mengamalkan ' Laillahaillallah ' sekiranya negara itu berada dalam cengkaman penjajah ataupun sekatan ekonomi? Bagaimana pula keadaan diri kita sendiri sekiranya kita menjadi hamba abdi kepada kaum musyrikin dalam sistem yang membenarkan penghambaan?

Adalah lebih bijak sekiranya masyarakat yang kuat mahupun lemah bekerjasama supaya sebarang bentuk kezaliman yang menghalang manusia daripada mendapat keperluan asasi, mereka ditangani dan apa jua bentuk hegemoni ditentang bersama. Dikhuatiri apabila segala usaha penjajahan menular di semua pelosok, ketika itu sudah terlewat bagi kita berbuat apa-apa mengenainya.

Allah menjelaskan dalam Surah al-maidah, ayat 8 yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak keadilan, saksi kerana Allah, walaupun pada diri kamu sendiri ataupun ibu bapa dan kaum kerabat."

No comments:

Post a Comment