Klik dan lihat

Saturday, November 27, 2010

atas Nama kebenaran buku yang indah dan manfaat

Alhamdulillah akhirnya habis membaca buku Atas Nama Kebenaran Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal Edisi Kedua, hasil kritis Dr. Kahlif Muamar, jiwa saya tersentuh,sayu dan pilu. Ada sesuatu yang membekas di hati. Secara jujur, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Khalif Muamar kerana tulisannya membawa sinar dan kunci kekusutan yang berjaya dirungkai, bukan retorik, bukan juga sekadar cerita atau perkongsian. Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor bahawa Dr. Khalif Muamar sememangnya mempunyai kesungguhan ilmiah dan keprihatinan seirus terhadap masalah umat. Cantuman kedua-dua ini menghasilkan suatu usaha yang sangat baik.

Seingat saya, buku ini saya jumpa seawal tahun 2009. Waktu itu buku baru hendak disusun di rak buku kedai buku Popular di Batu Pahat. Saya membelek-belek dan terpikat dengan tajuknya. Atas Nama Kebenaran. Tajuknya saja mencuit hati saya untuk membaca buku ini. Kemudian saya membaca tulisan Dato' Dr Siddiq Fadzil di bahagian belakang yang mengatakan bahawa buku ini wajar dicatatkan sebagai a must read book di bahagian belakang buku, membuatkan saya mahu membelinya. Sayangnya, pada ketika itu, ada aral yang menghalang.

Setelah saya memperolehinya , saya terus menguliti buku ini. Buku ini membuatkan saya tidak bergerak dari meja dan mengekori saya hingga ke tempat tidur. Walau bagaimana pun, ada sedikit kecewa kerana terdapat beberapa helai muka surat yang kosong dan mengganggu pembacaan saya. Silap saya juga tidak meneliti kondisi buku tersebut terlebih dahulu. Nyata kecewa. Tetapi saya bersangka baik mungkin dalam urusan pembelian walaupun dah lewat satu tahun lebih (untuk edisi kedua, yang edisi pertama pun tak ada!!!).

Pada pandangan saya, Dr. Khalif Muamar telah berusaha mempertahankan kebenaran Islam melalui pendedahannya terhadap kekeliruan umat Islam terhadap agamanya sehinggakan mereka terpedaya dengan idea-idea Barat yang sememangnya bertujuan menghancurkan Islam. Golongan Islam Liberal yang telah banyak mengelirukan melalui dokonstruksi Shari'ah, pluralisme agama, hermeneutika, kebebasan berijtihad, kesetaraan gender, seksualiti dan pelabagai lagi. Berdasarkan kepada kebebasan pendapat, relativisme dan subjektivisme, mereka telah menafikan kebenaran mutlak atau hakiki. Dr. Khalif Muamar telah mematahkan hujah golongan Islam Liberal dengan jelas dan baik sekali.

Melalui pengaruh modenisme dan pascamodenisme, kebenaran hakiki mula tercabar. Dr. Khalif Muamar juga mendedahkan cara pemikiran individu atau golongan postmodenisme yang terpengaruh dengan Derida yang terkenal dengan wacana dekonstruksi. Juga perihal pluralisme agama yang ditimbulkan oleh Nurcholish Majid yang melihat agama-agama lain sebagai jalan yang sama-sama sah untuk mencapai "kebenaran" yang "Sama". Dr. Khalif Muamar juga mendedahkan beberapa individu Muslim yang mendukung fahaman ini seperti Prof. Osman Bakar. Dan yang terbaru kita boleh lihat dengan jelas melalui teks ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendukung fahaman pluralisme. Membaca buku ini akan membuatkan kita lebih jelas dengan cara sudut pandangan hidup golongan ini.

Penulis juga telah membuka laluan keilmuan yang luas untuk pembaca berfikir dengan lebih kritis dan dalam untuk melihat ancaman-ancaman yang dibina oleh Barat melalui golongan Islam Liberal. Buku ini saya kira bersifat attacker dan defensif, dalam masa menyerang dan pada masa yang sama defensif. Attacker bukanlah bermaksud menyerang dengan hawa nafsu dan tidak berasas, bukan juga kerana kebencian terhadap agama lain, tetapi untuk mengoyakkan selimut kepalsuan yang telah menyelimuti umat Islam kini, yang terus lena dibuai mimpi. Defensif bukanlah sebab pengecut, bukanlah kerana Islam ini tetapi mempertahankan kesucian Islam agar tidak terus dikotori oleh fahaman-fahaman yang mengelirukan kadangkala membawa kepada kehancuran hidup. Kedua-duanya (attacker dan defensif) bersepadu atas nama kebenaran dan kemuliaan Islam.

Sampai di pertengahan pembacaan, tiba-tiba buku ini seakan membawa saya kembali menjengah zaman-zaman muda yang penuh dengan kelalaian dan kejahilan. Saya pernah berkawan dengan beberapa orang rakan, bergaul dengan golongan yang menggelarkan mereka sebagai punk(peace punk?, hardcore punk?, anarcho punk?). Saya boleh simpulkan bahawa mereka sudah bertuhankan kepada hak (bukan kebenaran, tetapi hak untuk memilih). Melalui fahaman humanisme yang pekat, mereka perjuangkan kedamaian, perjuangkan kesetaraan, (equality) dan mereka jelas sekali tidak mahu dikawal atau mereka tiada percaya kepada Tuhan (Against All Authority) yang didukung oleh fahaman anarki. Dan tak keterlaluan, ada yang mengaku bahawa mereka atheis.

Percayalah, golongan muda seperti ini banyak dan bertaburan di Malaysia. Berselindung atas label underground. Mereka dibayangi dengan pengaruh Barat yang kuat. Sekarang baru saya jelas. Sesuatu fahaman datang bukanlah saja-saja. Rupanya menggendong makna yang sarat hingga boleh mengubah pandangan alam individu. Melalui buku ini, saya melihat dengan jelas apa yang telah berlaku 10-12 tahun yang lepas, ia sudah mula berakar di generasi muda dan ia tidak akan terhenti. Golongan ini akan merosakkan lebih ramai generasi muda akan datang. Semoga Allah mengampuni mereka dan mereka berusaha membebaskan diri dari kejahilan dan kesesatan.

Setelah habis membaca, saya juga mula faham dengan jelas keadaan kesusasteraan Melayu kini yang semakin ditusuki dengan fahaman sekularisme, humanisme, femenisme dan pelbagai lagi . Fahaman-fahaman tersebut diborong membabi buta tanpa faham dengan jelas dan teliti dari Barat. Nyata, segelintir orang sastera sukakan kebebasan berpendapat untuk menghasilkan sesuatu yang "baru". Kononnya dengan lesen kepengarangan mereka boleh menulis sesuka hati. Ini sikap kebinatangan dan hawa nafsu yang tinggi jika penulis mengamalkan kebebasan berkarya tanpa menyumbang hasil yang bermanfaat, berhikmah dan benar menurut Islam. Mereka menulis hanya untuk mendapatkan nama, berseronok, kepuasan sendiri tanpa memikirkan kesan-akibat pada masyarakat.

Mustahil untuk saya katakan bahawa buku ini terlalu bagus atau sempurna, tetapi buku ini pada saya, telah membuka ruang yang lebar untuk mencari "kebenaran" dewasa kini, di samping menjadikan saya lebih berhati-hati untuk menerima fahaman dari Barat, dan menjadi lebih teliti melalui pembacaan. Terima kasih kepada Dr. Khalif Muamar atas tulisan beliau yang berma'na. Mungkin saya agak terlewat membaca buku ini, tetapi saya yakin masih ramai lagi yang tidak membacanya. Tak rugi memperolehinya. Jauh berkualiti daripada novel-novel setebal bantal di pasaran. Percayalah. Semoga kita mendapat manfaat daripada bacaan kita semua. Insha-Allah.

No comments:

Post a Comment