Klik dan lihat

Thursday, November 25, 2010

Seleweng Subsidi diesel apa kesudahannya.

Kegiatan penyelewengan subsidi diesel untuk nelayan merupakan jenayah yang serius dan wajar diberikan perhatian oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Dianggarkan Kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM257 juta bagi tempoh lima tahun atau purata RM50 juta setahun. Perkiraan ini dibuat berasaskan kepada anggaran paling minima iaitu 5 peratus dari jumlah subsidi yang diluluskan Kerajaan untuk golongan nelayan. Bagi tempoh lima tahun iaitu 2006 hingga 2010, Kerajaan telah meluluskan peruntukan subsidi diesel kepada nelayan sebanyak 5.1 billion liter.

Pelbagai pendekatan telah diperkenalkan Kerajaan untuk menyekat ketirisan subsidi diesel antaranya termasuk memperkenalkan sistem fleet kad e-diesel. Namun, penyelewengan tetap berlaku. Diesel bersubsidi khasnya untuk golongan nelayan diberikan bertujuan untuk membantu dan mengalakkan golongan ini bagi mencari pendapatan hasil perikanan.
Salah satu dari punca berlakunya ketirisan ini adalah disebabkan kadar permintaan yang tinggi di kalangan pengusaha industri terhadap minyak diesel bersubsidi. Ini kerana penjualan diesel subsidi nelayan secara haram ini jauh lebih rendah berbanding harga yang dikenakan kepada pihak industri. Harga diesel bersubsidi bagi nelayan ditetapkan pada kadar RM1.25/liter. Manakala bagi pengusaha industri pula pada kadar RM1.90/liter. Iaitu perbezaan sebanyak 65 sen/liter. Manakala harga dipasaran gelap disel bersubsidi adalah disekitar RM1.60 ke RM1.70/liter. Ini dapat menjimatkan golongan industri sebanyak 20 sen – 30 sen seliter. Bayangkan sekiranya dalam sehari, seorang pekilang sawit memerlukan 20,000 liter diesel sehari untuk mengerakkan mesin-mesin memproses buah sawit, maka kos diesel yang dibeli dengan harga industri (RM1.90) adalah sebanyak RM38,000.00. Sekiranya diesel bersubsidi dibeli di pasaran gelap (RM1.70) kos yang terlibat hanya sekitar RM34,000.00 iaitu penjimatan RM2,000.00 sehari.

Diesel bersubsidi untuk golongan nelayan ini juga bukan sahaja mendapat permintaan yang tinggi dikalangan pengusaha industri tempatan, malahan menarik minat pemborong-pemborong di negara-negara jiran seperti Thailand dan Filipina. Permintaan yang tinggi ini mengakibatkan penyeludupan dan penjualan diesel bersubsidi nelayan secara haram ini menjadi semakin rancak disebabkan keuntungan yang diperolehi.

Di Thailand, harga diesel adalah sebanyak RM3.00/liter. Manakala di Filipina ianya pada sekitar RM2.68 seliter. Harga yang lebih yang tinggi di negara-negara jiran menyebabkan aktiviti penyeludupan rancak dijalankan di sempadan tanahair. Hasil risikan yang dibuat mendapati harga pasaran gelap untuk penyeludupan diesel ke negara-negara jiran dijual pada sekitar RM2.00/liter. Ini memberi keuntungan kepada golongan peniaga haram sebanyak 50 sen hingga 60 sen seliter.

OPS Nano yang dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama KPDNKK menjelaskan bahawa aktiviti penyelewengan dan penjualan diesel subsidi nelayan secara haram amat berleluasa. Sepanjang dua hari operasi dibuat bermula pada 22 dan 23 November 2010, seramai 19 orang pengusaha dan konco-konco yang terlibat dalam kegiatan ini berjaya ditahan SPRM. Sebanyak 414,000 liter diesel bernilai RM517,000.00 berjaya disita. Empat negeri menjadi tumpuan operasi iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pahang. Dipercayai kegiatan penjualan diesel bersubsidi ini tersebar luas di seluruh negara.

Antara dalang-dalang sindiket yang dikenalpasti terlibat pengusaha jeti, pemilik bot, pengusaha tangki minyak haram (skid tank), depot individu dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
Sementara itu, KPDNKK menerusi kenyataannya juga mengesahkan bahawa kegiatan ini amat berleluasa. Sepanjang tahun ini sahaja sebanyak 98 kes berjaya dikesan dengan membawa penyitaan sebanyak 707 ribu liter dengan anggaran nilai sebanyak RM1.7 juta.
Kesan keuntungan yang tinggi membuatkan golongan peniaga diesel haram ini tidak takut untuk menyogok pegawai-pegawai penguatkuasa bagi menutup dan melindungi kesalahan mereka. Hasilnya sebanyak RM80,000.00 nilai suapan rasuah cuba disogok dalam operasi dua hari ini.
Tindakan penguatkuasaan yang tegas sahaja tidak mampu membendung dan menyekat ketirisan ini dari terus berlaku. Ini kerana permintaan yang tinggi menyebabkan individu tertentu menjadi tamak dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Kesannya, masyarakat nelayan yang ada antaranya golongan miskin tegar dilihat tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan Kerajaan bagi memajukan kehidupan mereka. Persatuan Nelayan Kawasan dan LKIM yang diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab membantu golongan nelayan menyeleweng dan tersadung dek kemewahan yang dihulurkan golongan peniaga haram.


Satu kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh SPRM bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur sehingga menyebabkan perkara ini terus berlaku. Bagi pihak-pihak bertanggungjawab laksanakan lah amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas demi membangunkan bangsa sendiri. Janganlah terlalu bergantung harap kepada SPRM untuk memulakan tindakan tetapi tidak disahut sebagai cabaran kepada mereka yang bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment