Klik dan lihat

Tuesday, December 7, 2010

Bidang kuasa SPRM dan pemahaman undang-undang.


Sememangnya dunia penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah amat rencam dan sarat dengan cabaran apatah lagi bacaan Indeks Persepsi Rasuah negara ini merosot dari tahun ke tahun sehingga menuntut pembaharuan segera dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak henti-henti menjadi sasaran pelbagai pihak terutama pembangkang yang melabelkan badan itu sebagai tidak cekap menghidu penyelewengan. Kata mereka, jika pun SPRM cekap mengesan kes-kes rasuah, akan ada pula campur tangan di pihak Pejabat Peguam Negara menyebabkan ia tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Sempena pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas MB Selangor iaitu Dato' seri Khir Toyo saya jangka akan ada lagi persepsi liar yang akan ditujukan terhadap SPRM. Oleh itu saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai bidang kuasa SPRM.

Seksyen 58 SPRM menyatakan dengan jelas bahawa pendakwaan kes di bawah Akta SPRM tidak boleh dijalankan kecuali dengan persetujuan pihak pendakwa raya. Ini sejajar dengan Perkara 145 Perlembagaan. Bagaimanapun pada awal tahun 2008, kuasa Peguam Negara untuk mendakwa kes di mahkamah telah diturunkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang dipinjamkan ke SPRM.

Begitu juga dengan persoalan jika SPRM boleh mendakwa kes tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara mengapa perlu diwujudkan Seksyen 58 rang undang-undang berkenaan. Dari sudut undang-undang adalah amat penting untuk menyediakan pelindungan terhadap penyalahgunaan dan mengekalkan pengasingan kuasa. Jika kuasa untuk menyiasat dan mendakwa hanya ditumpukan kepada satu entiti iaitu SPRM, tidak mustahil ia boleh membawa kepada keadaan penyalahgunaan kuasa.

Berdasarkan pemahaman ini saya lihat Pihak SPRM telah melakukan kerja dengan baik cuma saya agak terkilan dengan Pihak Peguam Negara yang masih bergelumang dengan tuduhan liar dan persepsi yang tidak baik. Berharap persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan dapat dijelaskan oleh pihak Peguam negara agar mereka tidak dilihat sebagai budak suruhan ataupun proksi.

No comments:

Post a Comment