Klik dan lihat

Thursday, December 23, 2010

Di Mana Silapnya SPRM ?


Arus pemodenan begitu pesat dan pantas, begitu juga dengan ketelitian jenayah rasuah. Dalam keadaan negara sedang rancak mengejar pembangunan semakin pesat jenayah rasuah itu berlaku. Rasuah bukan lagi dilihat sebagai jenayah besar atau pun dosa yang boleh membawa ke neraka tetapi rasuah dilihat kepada keperluan asas yang mendesak.

Rata-rata ahli perniagaan beranggapan memberi rasuah adalah kelangsungan hidup. Tanpa rasuah pasti perniagaan mereka akan gulung tikar atau sekadar cukup-cukup makan. Tamak mungkin perkataan yang sesuai untuk mereka. Anggapan mereka bahawa, sikap tamak adalah konsep perniagaan yang berdaya saing. Tidak dinafikan dengan cara memberi rasuah, pasti ianya mendatangkan kepentingan bersama yang menggalakkan.

Peranan SPRM amat besar. Kelicikan SPRM perlu untuk menghidu dan menutup peluang jenayah rasuah. Lebih bijak penjenayah yang melakukan rasuah maka Pegawai SPRM perlu lebih bijak dan berfikir ke hadapan berbanding penjenayah rasuah tersebut. Mendidik masyarakat adalah perkara yang amat sukar tetapi pencegahan melalui sistem, adalah konsep yang amat tepat dan sistematik.

Pencegahan melalui sistem dapat dilakukan dengan cara mengawal ataupun mengecilkan ruang rasuah berlaku, mustahil untuk menghapuskan rasuah seratus peratus buat masa sekarang tetapi mengecilkan ruang jenayah tersebut adalah logik dan praktikal. Semakin kecil ruang dan peluang jenayah rasuah semakin sukar untuk melakukan rasuah. Pencegahan melalui sistem mestilah berpandukan kepada beberapa situasi yang sesuai.

Mungkin pihak SPRM boleh menambah baik beberapa peraturan dan prosedur berkaitan perkara-perkara yang mudah terjebak dengan rasuah. Sebagai contoh; kita selalu lihat anggota polis kebiasaannya melakukan rondaan dan sekatan jalan raya tanpa mengikut prosedur yang betul iaitu berada di tepi jalan dan menahan pengguna jalan raya tanpa ada sekatan dan kaedah yang difikirkan sesuai mengikut undang-undang. Mungkin pihak SPRM boleh membuat satu kertas kerja mengenai prosedur tersebut dan menyiarkan kepada media mengenai kaedah yang sebenar supaya tiada lagi ruang dan peluang kepada anggota polis untuk melakukan rasuah. Ini lebih logik kerana orang awam akan tahu bahawa perbuatan anggota polis yang berpeluang besar untuk melakukan rasuah itu adalah salah dan ianya akan menyukarkan pihak yang terlibat untuk meneruskan amalan yang tidak sihat seperti itu.

Bagaimana pula dengan isu pendatang tanpa izin yang merupakan lubuk rasuah ? Perkara ini perlu dibanteras dengan berhemah. Pencegahan secara sistematik amat perlu dalam hal ini. Difahamkan bahawa bahagian trafik PDRM mempunyai kuasa dalam perkara berkaitan pendatang asing kerana ada satu bahagian yang dikenali sebagai Bahagian keselamatan dan ketenteraman awam yang berfungsi untuk mengawal ketenteraman awam iaitu ianya mencakupi isu pendatang asing tanpa izin. Di lihat wujud ruang dan peluang yang besar dalam soal rasuah, jika pihak SPRM dapat mencari kaedah untuk mengecilkan peluang rasuah ini pasti sukar untuk mereka terjebak dengan jenayah rasuah. Mungkin pihak SPRM boleh mengadakan perbincangan 3 hala diantara pihak imigresen dan pengusaha projek. Pengusaha mana-mana projek yang kebiasaanya menggunakan khidmat PATI untuk membuat projek pembinaan. Pihak SPRM boleh bertindak sebagai penasihat supaya pengusaha projek merujuk kepada pihak imigresen dan mencari kaedah terbaik agar pekerja-pekerja itu diberi pas sementara yang lebih efisen berbanding keperluan untuk membayar wang perlindungan kepada pihak berkuasa.

Begitu juga dengan mana-mana agensi lain yang terjebak dengan rasuah. Rasuah itu hadir kerana budaya yang sudah berakar dan menjadi amalan pihak yang terlibat. Budaya sukar dihapuskan dengan hanya mewujudkan kesedaran dan hukuman tetapi boleh dicegah dengan cara menutup ruang dan peluang. Pencegahan yang sistematik amat perlu dan harus dipraktikkan. Pihak SPRM boleh menyiarkan di media supaya ada pihak tampil memberi idea-idea yang bernas untuk mengecilkan ruang jenayah rasuah. Pihak SPRM juga boleh meningkatkan hubungan dengan orang ramai dengan cara berkongsi penyelesaian isu rasuah secara terbuka dan menerima pendapat dari pelbagai sumber.

1 comment: