Klik dan lihat

Tuesday, February 1, 2011

Saya pun Melayu


Orang melayu tidak perlu bersikap seperti talam dua muka, bercakap lain apabila berhadapan dengan kaum lain tetapi berbicara lain apabila sesama melayu. Berbicara manis semata-mata ingin memperoleh undi dari bukan melayu tetapi mengutuk mereka apabila berlagak sebagai hero melayu.

Semua manusia sama, berasal dari Adam a.s. Yang membezakan kita ialah akal fikiran dan perbuatan masing-masing, sebab itu tuhan beri manusia panduan. Panduan kita adalah Al-quran dan Hadis. Kita yang berbangga sebagai melayu kononnya kaum teristimewa di Tanah melayu sepatutnya menjadi contoh dan tauladan terhadap kaum lain, bukannya menindas dan mendabik dada dengan kesombongan sebagai tuan. Tiada istilah tuan jika ekonomi kita telah dijajah oleh penjarah sistem kapitalis yang diakui mencengkam hidup umat islam sehingga sekarang.

Terdetik dihati kata-kata Nong chik sebentar tadi soal pembangunan sosio-ekonomi dan jurang pendapatan warga Kuala Lumpur. Agenda kapitalis yang mencengkam umat islam. Agenda yang tersendiri akan membuatkan kita sebagai umat islam lupa apa itu islam yang sebenar. Akhirannya melayu membuat kesimpulan mudah dengan menyalahkan bangsa lain atas kelemahan pemimpin-pemimpin kita yang tidak cekap dalam pemikiran pembangunan insaniah. Cekap berniaga harta benda tidak semestinya cekap mengatur keseimbangan kehidupan.

Soal bangsa tidak akan wujud jika tiada pemimpin yang mewujudkan rasa curiga dikalangan rakyat Malaysia. Sekarang ini bukan lagi tanah melayu tetapi Negara Malaysia, itu hakikat dan kesedaran yang perlu ditelan kerana kebaikan kita menerima saudara baru pada masa dahulu. Saudara kita yang berasal dari China dan India telah diakui sebagai warganegara dan layak diadili berteraskan perlembagaan yang melayu ultra agung-agungkan.

Saya pun Melayu, kelemahan kita kerana pemimpin kita asyik mengejar pembangunan sehinggakan 'standard' melayu itu gagal dipertingkatkan seiring dengan kemajuan yang dikecapi negara. Kegagalan melayu kerana terlalu taksub dengan pemimpin-pemimpin ultra mereka sehinggakan begitu kerap tertipu dan terus ditipu. Kelemahan melayu kerana kita sudah terbiasa dengan angan-angan bahawa kita adalah golongan teristimewa sehinggakan kita tidak rasa perlu bersaing secara positif dengan bangsa lain.

Melawan melayu ultra dituduh sebagai pemecah belah masyarakat melayu. Bangsawan melayu tidak pernah belajar dari sejarah silam alam melayu. Alam melayu yang penuh kepura-puraan dalam bersopan santun bukan lah pegangan islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Alam melayu yang terlalu 'Play safe' perlu dikikis. Jangan hidup dalam kepura-puraan.

No comments:

Post a Comment