Klik dan lihat

Friday, April 29, 2011

Hukum Hakam jadi Mainan Pemimpin yang kononnya perjuangkan Islam.

Di kehangatan suasana politik di persada tanah air membuatkan kita rindu pada zaman kanak-kanak, zaman yang penuh dengan kenaifan, riang dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang diberi oleh Allah s.wt.

Pada zaman itu kita diajar supaya menghormati orang yang lebih tua tanpa sedikit pun kita ambil kisah mengenai latar belakang politik mereka. Zaman itu juga kita diajar supaya menghormati pemimpin negara tanpa kita ambil tahu soal fahaman mereka. Bila meningkat dewasa kita mula kenal dunia politik yang sentiasa dekat kepada ancaman neraka.

Bila meningkat dewasa kita semakin galak mendengar kata-kata nista dilemparkan terhadap lawan yang tidak sefahaman. Adakah itu tandanya kita semakin mengenal dunia atau itu sekadar mainan syaitan yang cuba memecah-belahkan umat islam. Itu ayat yang kerapkali kita dengar sepanjang proses pembelajaran kita mengenal dunia, seringkali para agamawan berbicara soal kehancuran umat islam dan dikuatkan dengan ayat-ayat Al-Quran yang jelas menyatakan perkara itu.

Adakah apabila kita inginkan kuasa maka kita tinggalkan soal akhlak kebelakang dan tampilkan sifat keberanian seperti mencaci, menfitnah dan buta hati dalam tempo perjuangan kita sebagai pejuang islam yang niat sucinya ingin menegakkan negara islam di persada tanah air ini tetapi liriknya tidak sebegitu.Teringat buku karya Imam Ghazali yang bertajuk Aqidatul Muslimin yang menjurus kepada soal Akhlak orang mukmin.

Imam Ghazali berbicara soal bagaimana Rasulullah s.a.w telah menetapkan tujuan utama dan cara berdakwahnya sebagaimana hadis nabi yang menyatakan:

' Sesungguhnya aku hanya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak'

Kewajipan yang ditetapkan oleh islam merupakan latihan kepada manusia supaya mereka dapat hidup dengan akhlak yang baik. Maka sungguh sayang jika perjuangan yang pincang telah membuatkan kita nampak hina di mata masyarakat keseluruhan. Islam gagal menjadi 'role model' kerana pejuang-pejuang islam gagal sempurnakan akhlak yang baik dalam kehidupan kini. Pejuang islam masakini lebih terarah kepada fitnah dan membuta tuli dan cepat mempercayai sumber yang tidak sahih demi memastikan ramuan pemimpin mereka terjaga. Sumber fitnah dijadikan asas penyelidikan dalam menghukum dan menilai seseorang manusia sehinggakan wujud ketidakpercayaan dalam diri terhadap sistem bermasyarakat yang terdapat di negara ini.

Pembohongan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin islam akhirnya akan merosakkan institusi masyarakat dan akan menyebabkan perpecahan berlaku. Hukum hakam bermain dibibir umpama tiada kaedah lain yang lebih baik dalam menentukan sesuatu hukum sehinggakan rakyat marhaen bisa mengeluarkan fatwa secara sendiri manakala tokoh agamawan sentiasa bercanggah dan berselisih faham secara tidak sihat. Masyarakat islam akhirnya akan semakin keliru dan penat dalam soal mencari kebenaran hakiki.

Memalukan lawan dilihat sudah menjadi Trend masakini dan ianya dilihat berlaku didalam kelompok pemimpin yang sealiran iaitu aliran islam. Masing-masing berusaha menjatuhkan lawan masing-masing tanpa peduli soal etika dan tatasusila yang dituntut oleh islam yang syumul. Jika dikaji dan diambil pandangan masyarakat, akan jelas bahwa politik itu pintu ke neraka kerana penuh dengan muslihat dan umpatan keji jika tidak sealiran.

Kunci utama ianya berlaku adalah kita gagal memahami orang lain dan beranggapan kita lebih islam dari orang lain, kita lebih alim dari orang lain, kita lebih jujur dari orang lain dan ego kita begitu tinggi kerana merasakan kita adalah lebih baik dari lawan kita yang tidak sealiran. Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Manusia itu punya kelebihan dan kekurangan. Jika manusia aliran islam itu bersatu maka pasti akan hebatlah segala-galanya, jika pejuang islam itu percaya pada Al-Quran maka itulah jalan yang diberi, bersatu dan ianya tetap bersatu, tiada lain, hanya bersatu.

No comments:

Post a Comment