Klik dan lihat

Monday, May 9, 2011

Nukilan Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)...bosan pertelingkahan 33 tahun PAS-UMNO

Saya - sambil memohon petunjuk daripada Allah SWT di bumi Madinah Al-Munauwarah - dengan rendah diri menyeru semua pihak yang mempunyai pengaruh politik di kalangan umat Islam di Malaysia, untuk melakukan dakwah musolahah agar masalih 'ulya (maslahat-maslahat utama) bagi agama Islam kekal terpelihara.

palestine hamas and fatah unite 270209 01Khilaf adalah perkara tabii bagi manusia. Begitu juga ittifaq (kesepakatan) adalah perkara tabii juga bagi manusia. Tetapi untuk khilaf buat selama-lamanya, ia suatu keganjilan, ketakburan dan kebodohan.

Lantaran itu, Hamas dan Fatah di Palestin yang telah bertelingkah selama 4 tahun sejak 2006, telah kembali bersatu dan berdamai beberapa hari yang lalu. Mereka berjanji untuk memadamkan semua lembaran hitam sejarah yang tercatat antara mereka setelah menyedari masalih 'ulya rakyat Palestin tergugat akibat pertelingkahan sesama saudara seagama dan sebangsa yang meluaskan jurang kejahatan Yahudi Zionis terhadap mereka.

Di Malaysia, gugatan musuh Islam pasti wujud secara terang-terangan atau tersembunyi kiranya khilaf dikalangan umat Islam tidak diurus dengan bijaksana menurut perintah Allah dan Rasul-Nya.

NONEKemusnahan Afghanistan dan Iraq hingga kini akibat pertelingkahan sesama saudara seagama dan sebangsa sewajarnya menjadi guru terbaik untuk mengajar umat Islam tentang pentingnya masalih 'ulya umat Islam diutamakan, bukannya kepentingan peribadi, kuasa puak dan pengaruh kumpulan.

Para pejuang Islam perlu sedar bahawa mereka berjuang untuk agama Allah, bukannya untuk kepentingan peribadi dan puak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, maka dia adalah pejuang pada jalan Allah".

Takfir amat berbahaya

Al-haq
(kebenaran) itu adalah milik Allah, bukannya milik mana-mana individu atau puak. Manusia hanya mampu berusaha dan berijtihad di bawah lembayung nas al-Quran dan al-Hadis untuk menilai dirinya, apakah Al-haq itu sudah dihampiri atau apakah dia sudah terkena talbis iblis (belitan Iblis) akibat dirinya tidak bebas daripada kongkongan hawa nafsu syahwat dan kegilaan kepada dunia dan kuasa.

Oleh itu, tiada siapa boleh mendakwa bahawa kebenaran itu dimonopoli oleh diri atau puaknya. Sebenarnya, setiap Muslim Mukmin yang berusaha menegakkan agama Allah adalah menghampiri al-haq.

azlanSikap suka bersangka buruk sesama Muslim Mukmin adalah amat dikeji oleh Islam. Tiada nas yang membolehkan hal ini. Apatah lagi sikap buruk sangka itu menjadikan dirinya lebih mawaddah (mengasihi) kepada si kafir kerana mahu melepaskan dendam kepada sesama Muslim. Islam menganjurkan untuk sentiasa bersangka baik sesama Muslim kerana ia adalah tuntutan Iman, sehingga Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri."

Merendahkan kedudukan Muslim Mukmin yang berdosa lebih rendah daripada kedudukan si kafir akibat tohmahan dan dakwaan perlakuan maksiat yang belum jelas buktinya adalah bukan sikap Ahli Sunnah wal Jamaah. Ini adalah ijmak para ulama Ahli Sunnah. Mana mungkin Muslim walaupun dia berdosa lebih rendah drjatnya di sisi Allah daripada si kafir.

Sikap suka merendahkan ini kadang-kadang hingga ke tahap takfir amat berbahaya dan sering menjadi punca pertelingkahan tanpa kesudahan di kalangan umat Islam. Inilah punca munculnya golongan Khawarij, Syiah, Muktazilah dan pelbagai aliran lain.

Majoriti senyap umat Islam di Malaysia pastinya sudah amat letih dengan pertelingkahan dua kuasa besar Melayu-Islam di Malaysia iaitu Umno dan PAS. Pertelingkahan 33 tahun sejak 1978 itu sudah amat lama untuk ditangisi.

Tangan ghaib orang kafir


Pihak-pihak yang terlibat dalam pertelingkahan itu hampir kesemuanya sudah menghadap Rabbul Jalil untuk dinilai sama ada benar atau salahnya tindakan mereka.

Generasi baru yang moderate sudah pasti muak dengan sikap ekstrim yang wujud di celah-celah kematangan berpolitik dua gergasi politik di Malaysia ini. Dalam pada itu, semuanya risau dengan tangan-tangan ghaib orang kafir yang pasti mengambil kesempatan atas pertelingkahan ini.

umno pasTiada Muslim Malaysia yang naif dalam hal ini. Bahkan mereka optimis dengan pulangan yang baik untuk umat Islam jika pertelingkahan ini diakhiri secepat mungkin.

Saya menyeru kedua-dua pihak agar dapat duduk semeja dengan kedua-duanya menunjukkan husnun niyyah (niat baik) demi menjunjung tinggi titah perintah Allah dan Rasul yang menuntut orang mukmin agar sentiasa bekerjasama atas kebaikan dan takwa, bukannya atas perkara dosa dan permusuhan.

Larangan dan kemurkaan Allah SWT ini jelas dinyatakan dalam ayat 2 Surah al-Maidah yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)."

Permusuhan lama itu perlu dipadamkan untuk selama-lamanya! Musolahah adalah seruan al-Quran kepada semua pihak apabila berlaku perbalahan dalam apa bentuk sekalipun.

Peranan lebih besar pada PAS

Renungilah sedalam-dalamnya dua ayat yang selalu dibaca secara sekerat-kerat sahaja, yang sebenarnya jika ditadabburkan, Allah SWT memerintahkan para Mukminin apabila bertelagah, maka mesti ada pihak berusaha mendamaikan antara mereka bagi memenuhi tuntutan Mukminin sebagai bersaudara.

Firman Allah SWT dalam ayat 9 dan 10 Surah al-Hujurat yang bermaksud:

NONE"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Kedua gergasi politik Muslimin di Malaysia ini punya kekuatan yang amat besar yang kiranya dimanfaatkan, ia amat baik untuk mempercepatkan impian penegakan Islam secara menyeluruh di Malaysia. Umno berusaha dalam kadar kemampuannya, manakala PAS pula wajar diberikan peranan yang lebih besar agar ia turut menyumbang ke arah penegakan Islam yang syumul di Malaysia.

NONESuatu hal yang diketahui umum, hampir kesemua sarjana dan ulama Islam luar negara yang datang ke Malaysia memperakui secara terbuka tentang pelaksanaan Islam di Malaysia sehingga ada yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam.

Pengiktirafan yang terakhir adalah sewaktu lawatan Imam Besar Masjidil Haram al-Shaikh Professor Dr Abdul Rahman Abdul Aziz al-Sudays, yang juga merupakan alim besar dan professor usul fekah di Universiti Ummul Qura, Makkah al-Mukarramah. Hal ini tidak wajar diperdebatkan kerana ia bersifat terlalu akademik dan epistimologi.

Saya dengan ini menyeru pihak-pihak yang berkenaan untuk melakukan dakwah musolahah - seruan perdamaian. Ini adalah seruan Islam, bukan hanya politik, kerana politik adalah sebahagian daripada agama. Kewajipan umat Islam adalah menegakkan agama dan jangan bertelingkah dalam urusan menegakkan agama.

Hak persaudaraan Islam

Renungilah sedalam-dalamnya maksud firman Allah SWT dalam ayat 13 dan 14 Surah al-Syura yang menjelaskan tentang tugas para Nabi dan umatnya:

"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukum-Nya - apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya'. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama Tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamanya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadanya (dengan taat).

nik aziz najib 270609"Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. dan Sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap kitab itu.".

Respons yang baik daripada kedua-dua pihak yang menyatakan bahawa pintu perdamaian dan kerjasama tidak pernah ditutup adalah petanda yang amat menggembirakan umat Islam. Manakan tidak, Muslim Mukmin pasti amat gembira melihat saudaranya yang bertelingkah itu bersatu demi menunaikan titah perintah Allah dan Rasul.

NONEMasing-masing menyedari bahawa huquq ukhuwah islamiyah (hak persaudaran Islam) mesti dijaga kerana ia adalah tuntutan iman yang utama. Inilah sikap Muslim Mukmin yang terpuji. Oleh itu, amat wajar semua pihak bermuhasabah dalam - usaha menegakkan agama Allah - bahawa diri masing-masing punya kelemahan kerana kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu menyucikan dirimu (memuji-muji diri sendiri), Dialah Allah yang Maha Mengetahui siapa yang paling bertakwa."

Seruan ini bukanlah untuk merendahkan kedudukan mana-mana pihak. Saya yakin para ulama dan tokoh Islam yang cintakan kedamaian dan pembangunan Islam yang lebih syumul dan menyeluruh bersedia untuk bersama-sama menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya untuk melihat kesatuan di kalangan umat Islam yang pastinya didambakan oleh seluruh majoriti senyap umat Islam di Malaysia. Semoga Allah memberikan petunjuk hidayah kepada semua.



3 comments:

  1. Mari lah kita menyokong.,

    Saranan Pemimpin kita.,

    PAS ganti UMNO.

    Insyaallah kita akan Selamat Dunia Akhirat.

    Kerana Dunia akan mengikut Akhirat dan Sebalik nya.

    ReplyDelete
  2. Sokong PAS bermaksud membenarkan Anwar Ibrahim menjadi PM..

    jangan lah buta hati semata-mata hendakkan kuasa.

    takkan hendak biarkan DAP terus menipu kita seperti kes teoh beng hock..

    ReplyDelete
  3. Putra IJ80
    anda pasti ke selamat dunia akhirat?

    Adakah menyokong Pakatan Rakyat membuatkan kita selamat.

    Apa yang saya faham, Akhlak yang baik akan menyelamatkan kita dunia akhirat.

    Akhlak yang terbaik terhasil daripada sifat yang takutkan Allah.

    Politik itu sebahagian dari islam bukannya keseluruhan islam.kena faham perbezaannya bukan main ikut sahaja..banyak lagi bab-bab yang lain dalam islam bukannya setakat berpolitik sahaja.

    ReplyDelete